fbpx
Afiyah bersama ayahnya Adzahar Abu Bakar, 59, ketika ditemui di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam, Melaka hari ini.

Pelajar kematian ibu akibat Covid-19 mahu jadi doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN – Seorang calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 nekad untuk menjadi seorang doktor demi merealisasikan impian arwah ibunya yang meninggal dunia akibat Covid-19, dua minggu lalu.

Afiya Adzahar, 18, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Negeri Sembilan memperoleh keputusan 9A dalam aliran sains tulen.

Katanya, meskipun mendapat semua A, perasaan gembira itu bercampur hiba apabila tidak dapat meraikan kejayaan bersama arwah ibu tercinta, Rosliwati Rosdi, 58.

“Saya, abang, ayah dan mama dijangkiti Covid-19, namun mama telah meninggal dunia pada 28 Mei lalu.

“Saya dapat tahu mengenai pemergian mama selepas sehari dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kecil, di sini, hari ini.

Afiya berkata, ibunya itu adalah sumber inspirasi dan kekuatan dalam menempuhi cabaran kehidupan kerana insan tersebut merupakan kanser ‘survivor’.

“Mama disahkan menghidap barah otak pada 2008 dan berjaya melawan penyakit itu sehingga 2012. Begitu juga ayah yang merupakan survivor kanser pangkal hidung dan kekuatan mereka itu adalah sumber inspirasi kami.

“Mama pernah memberitahu teringin melihat saya menjadi seorang doktor, saya nekad untuk merealisasikan impiannya dan bergelar pakar perubatan suatu hari nanti,” katanya. -K! ONLINE