fbpx

Nurul Izzah gembira penuhi harapan ibu bapa, guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Izzah menerima ciuman daripada ibunya, Narima Mansor, 47, kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

ALOR SETAR – Pelajar, Nurul Izzah Abdul Halim gembira apabila berjaya memenuhi harapan ibu bapa dan gurunya untuk memperoleh keputusan cemerlang iaitu 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Menurut Nurul Izzah, 18, dia belajar bersungguh-sungguh walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk menyertai kelas menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Belajar secara PdPR agak menyukarkan kerana saya lebih suka belajar di dalam kelas, namun terpaksa menerimanya sebagai satu norma baharu.

“Saya sedar perlunya kekuatan untuk menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran tersebut termasuk masalah liputan internet di rumah demi mencapai keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Palas, Pokok Sena di sini hari ini.

Kata pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Daril Ikhtisam, Padang Sanai dalam daerah Padang Terap dekat sini itu, dia terus bersemangat untuk belajar apabila mengenangkan harapan guru dan ibu bapa yang tidak putus-putus memberi dorongan kepadanya.

“Ada guru yang sedang sarat mengandung sanggup datang mengajar sehingga malam (sebelum PdPR) selain tunjuk ajar guru-guru yang membuatkan saya berazam untuk menjadi orang berguna,” ujarnya yang merupakan anak kelima daripada enam adik beradik.

Tambahnya, dia menjadikan abangnya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jerman sebagai inspirasi untuk terus belajar bersunggguh-sungguh.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Nur Sofi Musfirah Che Sopha, 18, meluahkan rasa syukur kerana memperoleh keputusan 10A dalam SPM. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI