fbpx

Pendengki palsukan maklumat Wikipedia saya – Jaafar Onn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Wikipedia, Jaafar On dikatakan pernah menjalin kerjasama dengan Jason Derulo dan kumpulan Avenged Sevenfold.

PETALING JAYA – Pelakon, pelawak dan pengacara senior, Jaafar Onn menganggap individu yang menyunting halaman Wikipedia di atas namanya dengan maklumat palsu sebagai manusia penuh hasad dengki.

Selebriti berusia 70 tahun itu berkata, tindakan pengecut sebegitu lazimnya dilakukan individu yang mempunyai masalah dalaman dan kurang keyakinan diri sehingga mencetuskan rasa iri terhadap orang lain.

“Saya pun baharu tahu mengenai perkara ini sebab bukannya kita tengok pun laman web sebegitu hari-hari. Siapalah yang tiada kerja menambah-nambah informasi tak betul diri saya dalam halaman itu?

“Biar apa tujuan, kalau sekadar mahu berlawak pun itu bukan tempatnya. Tambah-tambah nak berdengki dengan saya yang sudah berusia ini. Walaupun kita dalam situasi ‘lockdown’, carilah aktiviti berfaedah.

“Saya ini bukan sesiapa pun untuk didengkikan. Biarlah kalau si pelaku itu berpuashati konon dapat berlawak dengan perkara seumpama itu. Mungkin kali ini dia terlepas, dengan orang lain belum tentu.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama nama saya dipergunakan. Sekitar 2015 ada kumpulan radikal yang memberi ancaman bom menggunakan gambar saya. Itu saya buat repot polis,” katanya kepada Kosmo! Online

Terdahulu, semakan menerusi halaman Wikipedia artis tersebut mendapati latar belakangnya diisi infomasi yang tiada kaitan dengan kerjayanya sebagai penghibur.

Mengikut catatan palsu berkenaaan, Jaafar Onn dikatakan ada menjalin kolaboratif dan menghasilkan sebuah lagu berjudul Memori Kismis bersama penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Avenged Sevenfold dan Jason Derulo.

Difahamkan, terdapat 24 suntingan dengan maklumat palsu dikesan dalam halaman berkenaan sejak 27 Disember 2020 dengan kali terakhir disunting pada 18 Mei 2021.

Selain itu, indentiti Jaafar juga ditulis sebagai bekas vokalis kumpulan XPDC dan pernah menghasilkan lagu bersama rapper terkenal Hollywood, Snoop Dog.

PAPARAN maklumat diri Jaafar Onn yang tercatat dalam laman Wikipedia.

Sementara itu, Jaafar yang menjadi sebutan ramai semula berikutan watak Tyson 2 dalam 18 Puasa Di Kampung Pisang menjadi ‘trending’ mengakui kehidupannya masih seperti biasa.

Biarpun tawaran berlakon datang berlipat kali ganda sejak tahun lalu, dia tidak tamak atau mengaut segala undangan kerana enggan menyusahkan pihak lain.

“Alhamdulillah, budak-budak pun kenal saya gara-gara Tyson 2, macam mengulang semula momen ketika kegemilangan drama Cili Padi dulu. Terima Kasih pada Mamat Khalid.

“Boleh dikatakan rezeki saya semakin murah sejak tahun lalu. Mungkin sebab saya pun bukan jenis ‘demand’ dan tak pilih watak. Bagilah apa saja… orang jahat, lelaki budiman hatta pondan tua sekali pun.

“Ada juga tawaran saya tolak sebab bertembung dengan penggambaran lain. Mujur penerbit faham. Saya bersyukur masih diberi kepercayaan,” katanya yang bakal muncul dalam drama 30 episod Alamak Dia Lagi.

Terkini, sambil menunggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, Jaafar yang selesa disapa Papa itu giat mengambil tempahan kek Arab dan kek badam.

Katanya, selain bisnes kek yang diusahakan sejak PKP musim pertama, dia turut melaksanakan projek amal dengan beberapa rakan agar masanya sentiasa terisi dengan aktiviti bermanfaat.

“Dahulu masa kerajaan umum PKP, saya ajak anak untuk buat sesuatu yang mendatangkan hasil. Ketika itu banyak kerja penggambaran ditunda, projek berniaga pun kena tangguh dulu.

“Saya pun memang suka memasak dan berniaga, jadi bermulalah projek kek Arab dan kek badam. Alhamdulillah, saya boleh siapkan antara 10 sampai 15 biji kek sehari.

“Daripada duduk saja, lebih baik kita buat sesuatu. Lagi pun tak perlu kita keluar, duduk rumah saja untuk putuskan rantaian Covid-19 ini,” tambahnya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI