fbpx

Duit bapa lesap RM17,200, pelajar IPTS ditipu penjual Iphone

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang pelajar lelaki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan sahaja tidak dapat memakai Iphone diidamkan, malah terpaksa ‘menjawab’ apabila duit simpanan bapanya berjumlah RM17,200 yang digunakan bagi membeli telefon bimbit itu lesap, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berusia 20 tahun itu tertarik dengan tawaran penjualan Iphone 12 Pro Max berharga RM1,800 di laman sosial Instagram.

Katanya, mangsa kemudian meneruskan urusan jual beli dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

“Selepas bersetuju dengan tawaran diberikan, mangsa telah diberikan nombor akaun bank bagi proses pembayaran.

“Pelajar lelaki tersebut telah memasukkan sejumlah RM1,800 pada 12 Mei lalu dan dimaklumkan bahawa telefon bimbitnya akan dipos dari Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, bagaimanapun suspek kemudian menghubungi mangsa dan memberitahu dia perlu membuat beberapa bayaran termasuk cukai dan deposit kastam bagi mendapatkan Iphone 12 Pro Max berkenaan.

“Suspek menakutkan mangsa dengan menyatakan sekiranya bayaran tidak dilakukan, dia boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Tanpa berfikir panjang mangsa telah mengikut arahan suspek dengan memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM17,200 melalui enam transaksi pembayaran ke dua akaun bank berbeza diberikan kepadanya,”katanya.

Sundra berkata, mangsa mendakwa pembayaran itu telah dilakukan menggunakan wang simpanan bapanya menerusi transaksi Maybank2U.

“Mangsa maklumkan wang yang digunakan untuk pembayaran tersebut adalah milik bapanya, di mana dia mempunyai akses akaun Maybank2U tersebut dan setiap pembayaran dilakukan tanpa pengetahuan.

“Namun selepas bayaran dibuat, mangsa tidak menerima Iphone seperti dijanjikan dan telah tanpil membuat laporan di Balai Polis Selandar, Jasin selepas berasa tertipu,” katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati nombor akaun yang diberikan kepada mangsa terlibat dengan sembilan laporan polis dengan modus operandi sama digunakan.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI