PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa sebaran mesej di media sosial yang meminta orang awam untuk melaporkan penghasut anti vaksin kepada pihak polis adalah palsu.
Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara, PDRM, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, PDRM telah mengesan sebaran mesej bertajuk ‘Sila Laporkan Penghasut Anti Vaksin’ itu yang didakwa daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
“Mesej tersebut meminta orang ramai melaporkan tentang ‘Penghasut Anti Vaksin’ melalui portal https://ereporting.rmp.gov.my/register.aspx.
“PDRM mengesahkan bahawa mesej berkenaan adalah palsu dan portal e-Reporting yang dinyatakan dalam mesej berkenaan adalah perkhidmatan projek rintis oleh PDRM di beberapa lokasi khusus untuk orang awam membuat laporan polis secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, portal berkenaan adalah untuk orang awam membuat laporan polis secara dalam talian hanya bagi kes-kes yang tidak melibatkan jenayah atau tidak memerlukan siasatan lanjut oleh pihak polis.
“Masyarakat diminta tidak menyebarkan mesej palsu berkenaan dan diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak sah.
“Jika timbul sebarang keraguan, pertanyaan boleh disalurkan kepada PDRM melalui laman sosial Facebook rasmi PDRM di https://www.facebook.com/pdrmsiaofficial/ atau lain-lain media sosial rasmi PDRM,” ujarnya. – K!ONLINE