fbpx

Penyewa premis milik kerajaan negeri ditawar moratorium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar yang dilakukan secara dalam talian pada petang tadi.

ALOR SETAR – Semua penyewa premis milik kerajaan negeri ditawarkan moratorium selama sebulan bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown Fasa Pertama yang bermula esok.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian moratorium itu melibatkan kesemua premis kerajaan negeri sama ada bagi tujuan perniagaan atau kediaman.

“Langkah pemberian moratorium untuk bulan Jun itu dijangka mendatangkan implikasi kewangan berjumlah RM500,000 kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco yang diadakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar di sini hari ini.

Kata beliau, selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman tanpa faedah dengan jumlah maksimum RM5,000 kepada peniaga kecil.

“Kerajaan negeri juga dalam masa sama dijangka akan kehilangan kira-kira RM10.8 juta berikutan penutupan kaunter-kaunter utama yang melaksanakan kutipan hasil sepanjang tempoh PKP Penuh tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 15,000 bakul makanan akan diagihkan kepada golongan benar-benar memerlukan dalam masa terdekat.

“Sebanyak 9,000 daripadanya akan disediakan kerajaan negeri manakala 6,000 lagi akan disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kesemua bakul makanan ini akan diagihkan menerusi 12 pusat kawalan operasi bencana (PKOB) di seluruh Kedah dan dalam masa sama, saya difahamkan Lembaga Zakat Negeri Kedah akan turut membuat agihan beras,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI