KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM25 sehari kepada setiap pesakit Covid-19 yang ditempatkan di 15 pusat kuarantin dan stesen kuarantin di negeri ini.
Penolong Pengarahnya, Azizah Zakaria berkata, pihaknya menyediakan keperluan makanan kepada 2,000 pesakit di pusat dan stesen kuarantin sebanyak empat kali sehari.
“Ia merangkumi hidangan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam.
“Setakat ini, kami hanya menyediakan makanan asas kepada pesakit yang dikuarantin dengan menu yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan pemakanan seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di stesen kuarantin Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (STTP) Negeri Kelantan, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Azizah, penyediaan makanan dilakukan secara keseluruhan bagi memenuhi kadar keperluan semasa, namun pihaknya tetap menerima rungutan mengenai hal melibatkan makanan.
Katanya, secara keseluruhan, penyediaan makanan di pusat dan stesen kuarantin berada dalam kuantiti yang baik dan tiada aduan berhubung makanan basi atau sebaliknya.
Berhubung bantuan makanan, ujarnya, JKM Kelantan ada menyediakan bakul makanan yang diberikan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Ia akan dihantar kepada pihak berkenaan mengikut keperluan semasa.
“Kerajaan amat prihatin kepada pesakit-pesakit Covid-19 dan sentiasa menyalurkan bantuan melalui pelbagai cara dan bentuk bantuan,” katanya. – K! ONLINE