fbpx

[VIDEO] 47 parah, 166 cedera ringan tren bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 47 parah manakala 166 penumpang lagi cedera ringan selepas tren dinaiki bertembung, hari ini.

PETALING JAYA – Seramai 213 penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan gambar dan video membabitkan penumpang yang tercedera dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tersebut.

Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.

Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian berlaku disebabkan pertembungan dua tren di laluan yang sama di antara Stesen KLCC dan Kampung Baru.

“Kita telah menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 8.45 malam. Kejadian berlaku selepas tren dari arah Gombak menghala ke Kelana Jaya yang dipenuhi 213 penumpang telah bertembung dengan sebuah tren yang tiada penumpang dari arah Kampung Baru ke Gombak di laluan yang sama.

“Tren dari arah Kampung Baru tersebut dilaporkan mengalami kerosakkan dan sedang dipandu uji. Tren tersebut juga tidak seharusnya berada di landasan berkenaan. Ia mungkin disebabkan berlaku salah faham antara pusat kawalan,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan awal juga mendapati, kelajuan tren ketika kejadian ialah kurang 40 kilometer sejam dan berlaku kurang dua meter dari Stesen KLCC.

“Setakat ini, 166 penumpang dilaporkan cedera ringan manakala 47 mengalami cedera parah. Kesemua mangsa telah berjaya dibawa keluar pada pukul 9.50 malam dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur serta hospital berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi menyiasat kejadian terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Awam Darat,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI