fbpx

Lima penunggang motosikal pamer aksi ‘Superman’ ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara aksi ala 'Superman' yang berjaya dirakam lensa kamera JSPT Kuala Lumpur di AKLEH, awal pagi tadi. - Foto IHSAN JSPT KL

PETALING JAYA – Perbuatan lima lelaki menunggang motosikal dengan aksi berbahaya ala ‘Superman’ di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) mengundang padah apabila diberkas, awal pagi tadi.

Lima individu yang berusia antara 17 hingga 27 tahun itu ditahan pasukan polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi Ops Samseng Jalanan bermula pukul 1 hingga 3 pagi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tangkapan itu dilakukan hasil daripada pemantauan Unit Risikan
Operasi, JSPT Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.

“Berdasarkan pemerhatian, kesemua penunggang motosikal itu didapati menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya termasuk mempamerkan aksi ala ‘Superman’.

“Pasukan telah menahan dan menangkap kesemua individu tersebut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, operasi sedemikian akan diteruskan dari masa ke semasa dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membanteras sepenuhnya kegiatan samseng jalanan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat boleh hubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H. S. Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis berhampiran. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI