fbpx

PDRM musnah enam rumah pengganas Abu Sayyaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak enam buah rumah pernah menjadi sarang pengganas Abu Sayyaf dimusnahkan polis daerah Beaufort dalam operasi khas di kawasan setinggan berhampiran Taman Sri Arjuna hari ini. IVAN AMIRUL

BEAUFORT – Sebanyak enam buah rumah pernah menjadi sarang pengganas Abu Sayyaf dimusnahkan polis daerah ini dalam operasi khas di kawasan setinggan berhampiran Taman Sri Arjuna hari ini.

Kawasan berkenaan adalah lokasi serangan hendap pengganas Abu Sayyaf ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Tindakan merobohkan dan membakar rumah-rumah semua diambil bagi mengelakkannya didirikan semula dan menjadi sarang penempatan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi pertama hari ini hanya membabitkan enam rumah di lokasi pertama (Point A) manakala lokasi kedua (Point B) terpaksa ditangguhkan berikutan kawasan berkenaan dilanda banjir.

Yusoff Zaki menyatakan operasi pemusnahan di lokasi Point A akan membabitkan 30 rumah yang berada kira-kira 300 meter daripada lokasi Point B.

“Tindakan merobohkan sebelum membakar rumah-rumah yang dijadikan sarang pengganas ini adalah usaha menghapuskan kehadiran mereka di daerah ini.

“Operasi khas pemusnahan membabitkan 60 anggota dan pegawai ini dijalankan PDRM dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ketika ditemui sejurus operasi selesai hari ini.

Mengulas lanjut, Yusoff Zaki berkata, tindakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort tidak akan terhenti di sini dan gerakan mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan masih diteruskan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan semua anggota dan pegawai sudah dikerah untuk memasuki kawasan setinggan lain bagi memastikan tiada lagi kehadiran kumpulan pengganas di daerah berkenaan.

Sementara itu, Yusoff Zaki menafikan beberapa kenyataan yang tular di media sosial kononnya daerah Beaufort tidak selamat berikutan insiden minggu lalu.

“Khabar angin berkenaan tidak boleh dipercayai malah keadaan aktiviti di daerah ini berjalan seperti biasa.

“Tiada isu keselamatan di daerah Beaufort. Pihak berkuasa juga sentiasa bersiap sedia sepanjang masa bagi memastikan keadaan selamat.

“Sebagai ketua polis daerah, saya memberi jaminan keadaan di daerah ini selamat dan aktiviti hariannya beroperasi seperti biasa.

“Bagaimanapun, masyarakat setempat diminta supaya tampil menyalurkan sebarang maklumat sekiranya berlaku sebarang pergerakan luar biasa untuk tindakan awal,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI