fbpx

Dua mat rempit dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua remaja ditahan di IPD Segamat, Johor selepas disyaki menunggang motosikal secara berbahaya. - Foto IHSAN POLIS IPD SEGAMAT

SEGAMAT – Video keghairahan sekumpulan remaja menunggang motosikal sambil membuat aksi berbahaya seperti ‘Superman’ dua hari lalu membawa padah apabila mereka ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dua lelaki berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang sebaik sahaja keterangan mereka diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Jelasnya, penahanan itu dibuat susulan daripada video yang tular bertajuk ‘Selamat Hari Raya Segamat Town’ berdurasi 1.19 minit di laman sosial Instagram milik salah seorang suspek yang ditahan.

“Berdasarkan video berkenaan, kumpulan mat rempit ini bertindak menunggang motosikal sambil mengangkat tayar hadapan (wheelie) dan berlagak seperti ‘superman’ dengan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan kepala ke ‘speed meter’.

“Mereka turut bertindak berani meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di atas tempat duduk sambil menunggang dalam keadaan laju dan secara berbahaya serta membuat aksi ‘zig-zag’ dengan mencelah di antara kenderaan lain,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dilakukan kumpulan remaja berkenaan di sekitar kawasan Bandar Segamat dan Jalan Muar-Segamat.

“Selain itu, kita dapati mereka menunggang motosikal secara berkumpulan dengan tidak mematuhi peraturan serta mengabaikan isyarat lalu lintas selain berlegar-legar di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah Bandar Segamat yang menghalang arus lalu lintas yang sibuk di petang hari.

“Ia telah menimbulkan kegusaran terhadap pengguna jalan raya yang lain, serta mengganggu ketenteraman orang awam apatah lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan di seluruh negara buat masa ini,” katanya.

Kedua-dua suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya manakala motosikal yang digunakan semasa kejadian turut disita.

Saki baki mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut akan dikesan dalam masa yang terdekat.

“Orang ramai boleh menghubungi IPD Segamat di talian 079312222 bagi melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan masyarakat di seru untuk sentiasa menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan samseng jalanan dan kegiatan jenayah,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI