fbpx

PKP- Pekebun tembikai tanggung rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIN Izuadin Mohd Ghazali, 26, mengumpulkan buah tembikai yang ditanamnya di Kampung Ubai di Pekan hari ini.

PEKAN – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan mulai 10 Mei lalu menyaksikan pengusaha tembikai di Kampung Ubai dekat sini sekali lagi terpaksa menanggung kerugian.

Masalah ini pernah dihadapi mereka ketika pelaksanaan PKP pertama pada Mac tahun lalu dan kini sekali lagi mereka terpaksa menanggung kerugian yang didakwa mencecah RM21,000.

Ain Izuadin Mohd Ghazali, 26, berkata, anggaran kerugian itu dibuat berdasarkan jumlah tembikai kira-kira 20 tan yang tidak dapat dipasarkan mengikut perancangan.

“Tahun lalu saya sudah berdepan isu sama apabila (keseluruhan) hasil tuaian tidak dapat dijual kepada peraih mengakibatkan saya menanggung kerugian kira-kira RM9,000.

“Saya ingatkan tahun ini bolehlah meraih sedikit keuntungan, namun apa boleh buat memang saya tidak jangka mereka (kerajaan) umum PKP sekali lagi dan kali ini memang saya rugi besar, mungkin lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelum ini,” katanya yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci.

Ain Izuadin berkata, keputusan pelaksanaan PKP kali ketiga bukan sahaja menyebabkan dia seorang sahaja berdepan kerugian puluhan ribu ringgit, bahkan turut memberi kesan kepada beberapa lagi pengusaha tembikai di kampung itu.

Menurutnya, setakat ini tempahan diterima daripada pelanggan agak perlahan yang mana dia hanya mampu menjual antara 300 hingga 400 kilogram tembikai sehari.

“Kalau bukan disebabkan PKP, jualan lebih rancak kerana kita boleh pasang khemah di tepi laluan utama Jalan Kuantan-Pekan tetapi sekarang semua tidak dibenarkan merentas daerah, jadi memang kurang hasil jualan dan terpaksa fokus memasarkan melalui media sosial,”katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI