fbpx

25 pokok berbahaya akan ditebang DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pokok-pokok yang berbahaya kepada orang awam akan ditebang mulai Jun tahun ini.

PETALING JAYA – Sebanyak 25 batang pokok yang berada dalam keadaan berbahaya akan ditebang oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara berperingkat bermula pada bulan Jun hingga Julai tahun ini di Kuala Lumpur.

DBKL menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, pokok yang berbahaya itu berada di sekitar Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Razak, Jalan Raja, Jalan Pinang dan Jalan Kinabalu.

Tujuan penebangan pokok-pokok tersebut adalah untuk memastikan keselamatan orang awam di dalam keadaan terjamin.

“Kebanyakan pokok yang berada di sekitar Kuala Lumpur ini amat berbahaya kerana keadaannya yang telah reput pada pangkal akar dan dahannya. Malahan, ia juga telah retak dan dahan pokok yang kebanyakannya sudah mati.

“Kesemua pokok yang ditebang ini akan digantikan dengan pokok lain dan ia juga bergantung pada keluasan ruang penanaman. Sekiranya ia tidak sesuai untuk ditanam, pihak kami akan menanam tumbuhan renek,” katanya di sini tadi.

Tambahnya lagi, perancangan penanaman semula pokok di Bandaraya Kuala Lumpur ini dibuat berdasarkan Garis Panduan Pelan Pengurusan Pokok Rendang Kuala Lumpur yang diterbitkan pada Januari 2019.

“Pelan ini menerangkan garis panduan tentang penanaman pokok rendang tepian jalan di Kuala Lumpur yang meliputi ruang penanaman pokok tepian jalan, kaedah rekabentuk ruang penanaman, senarai cadangan pokok dan kaedah penggantian pokok.

“Pihak kami telah merangka pelan ini kerana sedar tentang cabaran yang dihadapi oleh DBKL akibat faktor persekitaran seperti keluasan ruang penanaman terhad, tanah tapak yang berkualiti rendah, tanah yang mampat serta persaingan kepentingan struktur yang sedia ada,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI