fbpx

Pemberian vaksin secara walk-in tidak dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular orang ramai 'walk-in' bagi mendapatkan vaksin Covid-19 di PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai.

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan tidak menunggu di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara termasuklah di PPV AstraZeneca (AZ) dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual di penghujung hari.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata, ini kerana pemberian vaksin secara ‘walk-in- adalah tidak dibenarkan di mana-mana PPV.

“Satu mekanisme telah dibangunkan oleh CITF untuk menghindari pembaziran vaksin dengan memastikan proses pemberian vaksin kepada orang ramai di penghujung hari tidak menganggu perancangan logistik di PPV.

“Ini juga bertujuan untuk mengelakkan kesesakan terutamanya di waktu kes Covid-19 harian yang semakin meningkat,” katanya di sini hari ini.

CITF memaklumkan bahawa, semua PPV secara amnya akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

“Individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga,” jelasnya.

Untuk PPV AZ pula, CITF berkata, satu senarai menunggu iaitu senarai nama individu yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin tersebut baru-baru ini telah digunakan sebagai asas.

Katanya, individu yang dipilih di bawah senarai berkenaan akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan berlaku kesesakan di PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan berikutan tindakan orang ramai menunggu di luar premis tersebut seawal pukul 5.30 pagi bagi mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ berikutan terdapat slot kekosongan suntikan.

Difahamkan, pihak pengurusan PPV berkenaan didapati membuka slot kekosongan bagi menggantikan individu yang tidak hadir. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI