fbpx

Nostalgia menuju 1 Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

HARI ini, Selasa bersamaan 29 Ramadan 1442 hijrah, sekali gus bermakna tinggal sehari lagi umat Islam di Malaysia berpeluang menunaikan ibadah puasa sebelum berhari raya, insya-Allah Khamis ini.

Sejak zaman berzaman, sedari kita dilahirkan ke dunia, kita mengenal bahawa hari raya ialah saat yang paling dinantikan oleh setiap orang. Kalau dahulu, sebut sahaja pakaian idaman, makanan paling mewah atau rumah saudara jauh dekat yang paling hendak dikunjungi, semuanya menunggu tarikh keramat 1 Syawal untuk menunaikan keinginan-keinginan itu.

Dahulu, sekitar 1990, jika mahukan sesuatu yang agak mahal, waima sepasang sandal Bata pun, penulis tetap akan menunggu bulan puasa untuk disuarakan kepada ibu, padahal apalah sangat sepasang sandal, bukan.

Masih juga basah dalam ingatan, tiap kali malam raya atau dua-tiga malam terakhir Ramadan, penulis akan diberi ‘pelepasan’ untuk ke pasar malam berdekatan, naik basikal atau berjalan kaki beramai-ramai dengan kawan-kawan berbekalkan wang saku yang hanya cukup-cukup. Bahagia!

Itu dahulu, sewaktu RM1 pun harus meminta daripada ibu bapa! Sekarang, nikmat memberi menjadi milik kita yang telah dewasa, sama ada memberi kepada ibu bapa, anak-anak, kawan-kawan atau insan yang memerlukan (jika beroleh lebih rezeki).

Hari raya itu sendiri biasa, sahaja. Kita bangun pagi buat apa yang patut, menggayakan baju raya, bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, berbagi duit raya, bergambar dan berkongsi segala kegembiraan.

Dengan ada segala teknologi sekarang, saya pasti ramai yang sudah terfikirkan macam-macam idea untuk menceriakan Aidilfitri dengan video-video TikTok, Reel, IGTV, YouTube, Instagram atau Facebook masing-masing.

Namun, perjalanan masa dan jarak menuju ke sambutan raya itulah yang paling bererti buat semua. Setiap orang ada cerita berbeza, pahit manis, suka, duka, susah, senang, bersendirian atau bersama pasangan, semuanya tergantung ikut acuan, tahap sosial dan kemampuan dalam kehidupan.

Tahun ini, Aidilfitri kita semua sekali lagi teruji dengan penyakit yang seperti baharu semalam ternganga di pintu rumah masing-masing. Untuk tahun kedua bakal beraya dalam suasana norma baharu, kita semua seharusnya sudah masak dengan pengalaman.

Cuma entah kenapa, tahun 2021 yang diharapkan memberi sinar semakin menutup banyak harapan. Semakin kita menggantung impian untuk melihat pandemik semakin pulih, sebaliknya pula yang berlalu, bahkan semakin parah lagi melelahkan.

Kita marah, tetap tidak puas hati kenapa masih begini warna sambutan raya? Salah siapa?

Apa pun, sebagai ingatan untuk sedapkan hati. Jika kita berasa susah, apa kata ingatlah dan segera sematkan ketat-ketat dalam dalam ada bahawa ada orang lain yang lebih sukar hidupnya berbanding kita.

Jika kita senang, kita berbahagialah juga dengan cara sendiri. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua, maaf zahir dan batin, selamat beraya ber’PKP’ lagi!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI