fbpx

Kaji hasrat jual LTSAAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LTSAAS dianggap sebagai antara pencetus kepada pembangunan industri penerbangan negara.

SEPANG – Kerajaan diminta mengkaji semula sebarang hasrat untuk mencairkan pegangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang kepada pihak swasta.

Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, beliau memandang serius laporan pelbagai media dan beberapa individu mengenai cadangan kepada pihak kerajaan tentang pengambilalihan ­LTSAAS.

“Lapangan terbang secara umumnya adalah aset strategik hak milik negara, tambah lagi LTSAAS merupakan sebuah lapa­ngan bersejarah negara dan dekat di hati rakyat Malaysia.

“Oleh itu, tentulah sebarang langkah dalam membenarkan ia dikendali oleh pihak swasta perlu difikirkan secara mendalam, baik dari segi aspek keselamatan dan pertahanan, mahupun hak milik,” katanya dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan di sini ­semalam.

Zambry berkata, sebarang keputusan wajar dinilai semula memandangkan Malaysia Airports, pengendali LTSAAS ketika ini mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh negara dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Malah katanya, beberapa lapangan terbang antarabangsa kendalian Malaysia Airports, baik di Malaysia mahupun di Turki kerap mendapat pengiktirafan global dalam aspek perkhidmatan dan juga pertumbuhan jumlah penumpang.

“Selama kewujudan LTSAAS, ia telah berjaya menjadi pencetus kepada pembangunan industri penerbangan yang besar buat negara, terutamanya dalam industri aeroangkasa.

“Malaysia Airports telah memberi perhatian khusus dalam merancang hala tuju jangka panjang LTSAAS di bawah rangka kerja pelan induk Subang ­Airport Regeneration Master Plan,” ­katanya.

Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini memaklumkan cadangan membangunkan semula LTSAAS masih berada pada peringkat awal dan pertimbangan serta keputusan akhir akan diputuskan oleh Kabinet.

Katanya, adalah menjadi kebiasaan bagi pasaran untuk mengemukakan kertas cada­ngan kepada pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada.

Pada 6 Mei lalu, Tan Sri Desmond Lim, yang merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah dan pembinaan, WCT Holdings Bhd. dilaporkan merancang untuk mengambil alih LTSAAS melalui anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn. Bhd.

Cadangan itu sudah dibentangkan kepada MOT dengan anggaran pelaburan awal RM3.7 bilion, yang mana RM1.7 bilion akan digunakan untuk terminal penumpang dan jet eksklusif yang dijangka dibuka pada 2027.

Baki RM2 bilion akan digunakan bagi membangunkan bandar lapangan terbang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI