SEREMBAN – Pihak Polis akan mengadakan sekatan kenderaan di 28 sektor penguatkuasaan di lebuh raya seluruh negara sepanjang Op Rentas dalam usaha menyekat pergerakan rentas negeri oleh individu yang ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, operasi tersebut bermula semalam dan akan berakhir 16 Mei ini melibatkan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) secara mobil tetapi berkala melibatkan lima zon.
“Kita tidak buat secara statik seperti yang dilaksanakan kontinjen, tetapi secara ‘mobil’ (bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain) pada waktu tertentu dengan memfokuskan kawasan yang mungkin menjadi laluan untuk orang lari dari sekatan polis.
“Contohnya jika sekarang di zon selatan kita buat SJR di sebelah Seremban dan di sebelah petang pula kita akan buat di sebelah Muar, Johor. Begitu juga di zon-zon lain,” katanya selepas melancarkan Op Rentas Zon Tengah B dan Pengenalan Peralatan Bantuan Teknik JSPT di Hentian Rehat dan Rawat Seremban Arah Selatan, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.
Jelas Mohd. Nadzri, sekatan kenderaan di kawasan lebuh raya akan dilakukan di semua sektor termasuk di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Timur Barat dan Lebuh Raya Pantai Timur.
Sehubungan itu, beliau berkata, masyarakat diingatkan supaya jangan cuba ‘curi-curi’ merentas negeri kerana mereka pasti akan terperangkap.
“Mungkin ada yang terlepas pada pemeriksaan SJR yang didirikan di tol-tol, tetapi mereka tidak akan terlepas di lebuh raya dengan indvidu yang dikesan melakukan kesalahan dalam sekatan tersebut akan diarahkan berpatah balik selain dikompaun,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rungutan orang ramai terhadap kesesakan teruk di sesetengah SJR sehingga menyusahkan mereka, Mohd Nadzri berkata, ia tidak dapat dielakkan kerana pemeriksaan surat kebenaran merentas dibuat secara lebih teliti.
Namun beliau menjangkakan keadaan trafik pada hari pertama Aidilfitri nanti terkawal kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah diumumkan di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 28,000 saman telah dikeluarkan pihaknya kepada pengguna kenderaan dalam pra Op Rentas yang dijalankan pihaknya bermula 3 Mei sehingga 9 Mei lalu.