fbpx
GAMBAR HIASAN

Golongan kayangan harus hayati ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI INI ini umat Islam menunaikan puasa hari ke-28 Ramadan. Dua hari lagi, kita bakal meraikan hari kemenangan, Aidilfitri. Sebagai orang yang berpuasa, semoga hikmah disyariatkan ibadah puasa dapat dicapai.

Antara hikmah ibadah puasa yang lazim diperkatakan adalah untuk kita merasai sama penderitaan dan berlapar dengan orang-orang yang sebelum ini sering menahan kelaparan kerana tiada makanan. Orang kaya misalnya dapat turut merasakan derita si miskin yang berlapar.

Begitulah cara Tuhan mendidik hambaNya akan rasa rendah diri dan sifat kekitaan. Yakni, kita semua sama di sisiNya dan diperintahkan perkara sama dalam ibadah di hadapanNya. Bukan sahaja puasa, bahkan solat juga apabila kita menghadap satu kiblat yang sama.

Haji juga begitu apabila semua jemaah memakai ihram dan berhimpun di Padang Arafah dengan rupa serupa.

Jelas bahawa Allah amat menitikberatkan kebersamaan antara hambaNya. Jiwa empati atau merasai sama apa yang dirasakan orang lain itu ditanam dalam ibadah agar kita dapat menerapkannya juga dalam kehidupan seharian.

Maka, jika kita seorang yang menghayati ibadah, tidak mungkin berlaku hal-hal yang hangat diperkatakan masa ini ketika seluruh rakyat Malaysia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sama dalam mengekang Covid-19. Rasa untuk mengingkari apa yang dilakukan secara bersama itu seharusnya tidak terlintas di fikiran.

Ketika semua orang tidak dapat bertemu insan tersayang, membatalkan majlis kerana tidak dibenarkan merentas negeri dan berhimpun, jika ada yang ‘terlepas’ memang boleh membakar sensitiviti kebanyakan orang apatah lagi jika yang melakukannya golongan kayangan yakni yang memiliki kuasa, nama dan berduit tidak kiralah ahli politik atau selebriti terkenal.

Kes-kes rentas negeri atau perlanggaran SOP yang dilakukan golongan kayangan ini sesuatu yang amat dikesali sehingga tertanam di minda masyarakat seolah ada peraturan dua darjat.

Ada selebriti popular yang bukan sahaja merentas negeri bahkan memuat naik pula di media sosial dan mempromosikan destinasi membeli-belahnya bagai menayang kesalahan dilakukan. Bagi penulis, sekalipun mendakwa diri melakukan atas alasan dibenarkan, per­buatan seperti itu umpama tiada empati kepada orang lain.

Sayang penampilan nampak seperti kuat beribadah, kepala berkopiah dan niqab di wajah, tapi malangnya hikmah ibadah seolah tidak meresap ke dalam jiwa sehingga memuat naik hal yang terang-terang tidak akan boleh dilakukan orang lain pada masa ini.

Ke mana menghilangnya empati bahkan dalam situasi ini common sense iaitu hal yang tidak perlu diajar dan sepatutnya sedia ada dalam akal manusia?

Ada pula artis ternama lain yang menganjurkan majlis yang ‘nampak ramai’ dan menayangkannya di media sosial sehingga mencetuskan persoalan dan kecaman netizen. Itu namanya sendiri cari penyakit.

Justeru dalam mengambil semangat empati, diharapkan juga mereka yang berpeluang bertemu ayah bonda pada Aidilfitri ini untuk mengurangkan memuat naik gambar bersama keluarga terutamanya orang tua di media sosial.

Fikir-fikirkanlah perasaan kebanyakan sahabat kita yang tidak dapat pulang ke kampung demi mematuhi SOP.

Kita hamba Allah bukan hamba media sosial. Semoga ibadah kita sepanjang bulan Ramadan diterima Tuhan. -K! ONLINE