fbpx
ALIFF tidak kisah dengan segala cemuhan yang dilemparkan terhadapnya mengenai lagu Lala Raya.

Biarlah orang kritik, sekarang saya penyanyi nombor satu – Aliff Syukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Jangan dengki, itu rezeki saya.”

Itu respons usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri mengenai lagu rayanya, Lala Raya yang sohor kini (trending) dalam YouTube sejak semalam.

Menurut Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, 34, dia juga tidak menyangka Lala Raya mendapat sambutan hangat daripada netizen sehingga mendapat lebih 1.4 juta tontonan dalam tempoh seminggu.

TANGKAP layar video muzik Lala Raya yang kini sudah mencecah 1.5 juta tontonan dalam YouTube.

“Sebenarnya tak sangka Lala Raya trending nombor satu dalam YouTube sebab tahun ini ramai artis yang buat lagu raya.

“Walaupun stesen radio dan televisyen tidak memainkan lagu saya, tidak mengapa sebab berjuta orang yang suka dengan Lala Raya,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Menjawab tohmahan netizen yang mempertikaikan kualiti video muzik dan vokalnya, pelakon filem Badang itu enggan mengambil pusing semua kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya bukan penyanyi profesional, saya hanya mahu jadi seorang penghibur. Mereka yang kutuk-kutuk saya tetap menonton video muzik tersebut sehingga berjaya cecah satu juta tontonan.

“Biarlah nak kecam atau kutuk, asalkan orang sudah pilih lagu raya dan saya sendiri sebagai penyanyi nombor satu dalam Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan seorang pereka fesyen yang mengkritiknya, Aliff mempersoalkan mengapa lagunya yang menjadi pilihan untuk dikomen.

“Dalam banyak-banyak lagu, mengapa lagu saya yang dikritik. Maknanya dia cemburu dengan saya.

“Malas hendak komen banyak sebab saya tengah gembira lagu saya paling popular sekarang,” katanya lagi.

Tambah bapa kepada enam orang cahaya mata itu, impak daripada populariti lagu tersebut, dia menerima tawaran untuk menjadi duta kepada sebuah jenama kerusi urut terkenal, Gintell Malaysia.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama single Aliff dikritik kerana sebelum ini lagunya Bobo Dimana dan Abang Nak Tegur turut menerima kecaman ramai. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN