fbpx

Pakaian terpakai modal buat sedekah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fadzil (tengah) melayan pengunjung yang datang mendapatkan pakaian terpakai di Bazar Aidilfitri Bayan Baru, Bayan Lepas semalam.

GEORGE TOWN – Pelbagai cara dilakukan oleh orang ramai untuk menunjukkan semangat bermasyarakat termasuklah dengan menyumbangkan 200 kilogram (kg) pakaian terpakai atau bundle kepada pihak yang memerlukan.

Usaha murni itu dilakukan dua sahabat, Ahmad Fadzil Mohamad, 48, dan Fadzil Nusi, 34, yang ‘menghadiahkan’ pelbagai pakaian terpakai kepada pe­ngunjung yang hadir pada Karnival Bazar Aidilfitri di Bayan Baru di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pengunjung yang hadir mengambil peluang untuk mengambil lima helai pakaian dewasa dan kanak-kanak sebagai persalinan untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bukan setakat itu, ada dalam kalangan mereka turut teruja apabila sekian lama tidak mendapatkan pakaian ‘baharu’ selepas diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Menggunakan tagline ‘Ambil baju percuma, doa kami masuk syurga’, Ahmad Fadzil yang juga peniaga burger berkata, mereka mengambil pendekatan tersebut bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kami juga antara individu yang terkesan, tetapi kami lebih bersimpati dengan mereka yang kehilangan sumber pendapatan sehingga terpaksa bergolok bergadai demi ke­langsungan hidup.

“Dengan cara ini, kami berharap mereka dapat manfaat apabila menerima pakaian bundle yang diberikan percuma bagi menceriakan lagi sambutan ­Aidilfitri,” katanya.

Ahmad Fadzil memberitahu, pakaian bundle itu diperoleh daripada pengusaha gudang pakaian terpakai di Kulim, Kedah.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Shahrul Azhar Ali, 45, berkata, dia sanggup datang dari Tanjung Tokong sejauh 17 kilo­meter semata-mata mahu mendapatkan pakaian bundle percuma untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri yang disambut minggu depan.

“Rasa bersyukur sangat apabila mendapat 10 helai baju t-shirt buat dua anak lelaki termasuk untuk saya sendiri.

“Tidak perlu lagi keluarkan wang yang banyak untuk membeli pakaian baharu.

“Anak-anak juga tidak kisah memakai pakaian sebegini. Walaupun bundle, tetapi kainnya tetap ada kualiti dan tahan lama,” katanya yang mendapat tahu tentang aktiviti sumbangan pakaian percuma daripada rakannya menerusi WhatsApp.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI