fbpx
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada Embon di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Kuala Nerang hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Warga emas 98 tahun terima suntikan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG – Seorang warga emas yang paling tua di daerah Padang Terap, Embon Sulaiman, 98, cukup teruja dan gembira apabila berpeluang menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini hari ini.

Embon dari Felda Bukit Tembaga di sini memberitahu, dia dimaklumkan oleh anak-anaknya mengenai program suntikan vaksin itu kira-kira seminggu lalu.

Katanya, dia tidak menolak cadangan tersebut demi memastikan dirinya tidak dijangkiti Covid-19.

“Pada usia saya yang hampir mencecah 100 tahun ini memang wajar disuntik bagi mengelak Covid-19 yang mudah dijangkiti dalam kalangan warga emas,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin di Dewan Tunku Putra di sini hari ini.

Menurut Embon, dia dibawa oleh anak-anaknya dengan berkerusi roda untuk menerima suntikan di pusat pemberian vaksin seawal pukul 9 pagi.

“Saya tidak rasa gerun dan bersedia menerima suntikan tersebut dan percaya vaksin yang diberikan itu yang terbaik di dunia,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi warga warga emas yang ditemui, Hawa Mohd. Isa, 90, berkata, pada peringkat awal, dia mengakui takut untuk menerima suntikan vaksin.

Bagaimanapun, katanya, anak-anaknya banyak memberi semangat dan dorongan supaya dia menerima suntikan tersebut bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

“Saya juga takut kerana saya ada penyakit seperti kencing manis, walaupun tidak serius tetapi risau ada kesan sampingan teruk,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md. Shuhaime Abdul Rahman berkata, seramai 276 warga emas di daerah Padang Terap menerima suntikan vaksin hari ini.

“Golongan warga emas berumur 70 tahun ke atas menerima suntikan vaksin tersebut dan mereka memberi kerjasama yang baik,” ujarnya. – K! ONLINE