fbpx

Kilang kitar semula minyak terpakai dikompaun RM642,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemilik premis turut diberi arahan membuat pembersihan serta merta dengan menyedut sisa-sisa minyak yang berada di longkang awam berkenaan.

SEBERANG PERAI – Sebuah kilang kitar semula minyak terpakai di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini dikenakan kompaun sebanyak RM642,000 dan lesennya digantung selepas didapati melakukan pencemaran parit semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis itu turut diberi arahan membuat pembersihan serta merta dengan menyedut dan membersihkan sisa-sisa minyak yang berada di longkang awam berkenaan.

“Tindakan itu dibuat susulan maklumat orang awam berkaitan isu bau sebelum pegawai JAS menjalankan siasatan pada 30 April sehingga 1 Mei lalu bagi mengesan punca pencemaran.

“Pasukan siasatan telah menemui lapisan minyak di dalam parit awam di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pencemaran tersebut berpunca daripada premis berkenaan yang menjalankan aktiviti pemprosesan buangan minyak berhampiran lokasi tersebut.

“Pemilik premis didapati tidak melakukan penstoran dengan sempurna dan meletakkan buangan-buangan terjadual di kawasan terbuka sehingga menyebabkan berlaku pelepasan ke dalam parit awam.

“Justeru arahan henti operasi serta merta dikeluarkan untuk menjalankan pembersihan awam dan dikenakan kompaun RM642,000,” katanya lagi.

Beliau berkata, premis itu didapati gagal mematuhi syarat-syarat lesen seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI