fbpx
AKIBAT sering ponteng puasa bersama rakan-rakan semasa remaja menjadikan Apit terus meninggalkan rukun Islam ketiga itu tanpa rasa bersalah sehingga meningkat dewasa.–GAMBAR HIASAN

Tidak rasa berdosa langsung selalu ponteng puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“AMALAN ponteng puasa ini sudah saya lakukan sejak di bangku sekolah lagi dan kini sudah menjadi tabiat saya setiap kali bulan Ramadan,” ujar seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Apit kepada Panorama.

Apit yang kini berusia 30-an mendakwa, pengaruh rakan sebaya yang mendorong dirinya tidak berpuasa.

Ceritanya, ketika di bangku sekolah menengah, dia dan rakan-rakan yang lain akan pergi membeli makanan dan kemudian makan di port mereka sebelum pulang ke rumah.

“Untuk mendapatkan makanan pada waktu itu tidak sukar kerana terdapat kedai yang dibuka awal selain menjual nasi serta lauk-pauk untuk kaki ponteng puasa.

“Pada waktu itu, bukan kami sahaja yang tidak berpuasa malahan ada mereka yang lebih berusia turut melakukan perkara sama dengan membeli makanan di kedai berkenaan,” ujar lelaki dari utara Semenanjung Malaysia itu.

Akuinya, dia sendiri tidak rasa bersalah walaupun tidak melaksanakan rukun Islam ketiga itu.

Tambahnya juga sewaktu itu, ibu bapanya juga tidak mengetahui akan tabiat buruknya itu.

Namun pernah sekali dia ‘terkantoi’ apabila rakan bapanya ternampak dia membeli makanan pada waktu tengah hari bersama rakan lain, lalu memberitahu bapanya.

“Ayah saya ada bertanya akan hal tersebut dan saya mengaku bahawa saya tidak berpuasa pada hari itu apabila diajak rakan-rakan untuk berbuat demikian.

“Saya kemudian cuma dimarahi ayah saya dan dia meminta untuk saya tidak berbuat demikian lagi,” katanya.

Bagaimanapun, arahan bapanya itu ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri apabila selepas itu dia masih melakukan perkara yang sama.

 

UMAT Islam yang makan pada waktu siang di bulan Ramadan boleh dicekup pihak berkuasa kerana kesalahan tidak berpuasa.–GAMBAR HIASAN

Apit menegaskan, dalam sebulan Ramadan, sewaktu bersekolah, dia hanya berpuasa tiga atau empat hari, itupun ketika dia cuma duduk di rumah dan tidak keluar ke mana-mana.

Kongsinya lagi, amalan ponteng puasa itu dilakukannya sebulan penuh Ramadan apabila dia melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Apit menjelaskan, semasa dia melanjutkan pelajaran di institusi itu, ada kafe yang dibuka untuk pelajar bukan Islam.

Jadi pada waktu itu, dia akan meminta rakannya yang bukan beragama Islam untuk membelikan makanan kepadanya untuk dimakan di dalam bilik pada bulan Ramadan.

Ketika di pusat pengajian itu juga, Apit mendapati ada rakan Islam yang lain turut ponteng puasa.

Kadangkala mereka akan bersama-sama melakukan perkara tersebut.
Kini, walaupun umurnya menjangkau 30-an dia masih melakukan perbuatan yang sama.

“Saya kini bekerja dalam industri pembinaan dan itu menyukarkan saya untuk berpuasa.

“Pekerjaan yang saya lakukan ini memerlukan saya mendapat tenaga yang secukupnya. Jadi sudah menjadi amalan untuk saya dan beberapa rakan yang lain untuk ponteng puasa,” jelasnya.

Dedahnya, dia dan rakan-rakannya akan bergilir-gilir untuk pergi membeli makanan pada bulan Ramadan.

Apit berkata, dia pernah hampir ditahan oleh pihak berkuasa ketika hendak membeli makanan di sebuah kedai pada waktu tengah hari bulan Ramadan.

“Saya bernasib baik kerana tiba lewat sedikit ke kedai tersebut. Setibanya saya di situ, saya mendapati pihak berkuasa sedang melakukan pemeriksaan di kedai itu,” katanya.

Bagaimanapun Apit menjelaskan, dia bukan tidak mempunyai keinginan untuk berpuasa penuh pada bulan Ramadan.

Tetapi disebabkan amalan ponteng puasa yang sudah sebati begitu lama menyebabkan dirinya sukar untuk berpuasa.

“Saya mengakui kadangkala solat juga saya tidak jaga apatah lagi berpuasa.

“Mungkin ini antara salah satu sebab saya rasa seperti tidak berdosa kerana tidak mentaati perintah Tuhan,” katanya.

Sebelum menutup bicara, Apit berharap dirinya dikurniakan hidayah suatu hari nanti dan berubah menjadi seorang yang menjaga solat dan berpuasa penuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN