fbpx

Pentadbir Masjid Al-Khairiyah akui kesilapan azan Maghrib awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZIR Masjid Al Khairiyah telah memberi penjelasan kepada jemaah sebelum solat tarawih semalam. - Foto ihsan MUHAMMAD ASRI

PETALING JAYA – Pentadbir Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak di Batu Caves, Selangor mengesahkan berlaku kesilapan melaungkan azan Maghrib awal tiga minit sebelum waktu sebenar kelmarin.

Nazir Masjid Al-Khairiyah, Wan Nawawi Wan Dagang berkata, insiden yang berlaku pada hari ketujuh umat Islam berpuasa itu disebabkan masalah teknikal pada paparan jam digital waktu azan di masjid berkenaan.

“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa mereka telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti.

“Begitulah pandangan jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan kebanyakan ulama Hanbali yang bersepakat menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diganti,” katanya dalam satu kenyataan yang tular di media sosial sejak semalam.

Beliau turut menasihati jemaah yang terlibat mengikuti syarah hukum melalui siri Bayan Linnas Siri Ke-97 yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu mengganti puasa disebabkan insiden seumpama itu.

“Sekali lagi kami mohon maaf dan insha-Allah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Seorang saksi yang berada di dalam masjid ketika perkara itu berlaku berkata, bilal bertugas melaungkan azan sebanyak tiga rangkap sebelum sempat dihentikan jemaah yang menyedari kesilapan paparan skrin jam digital itu.

“Dalam hal ini jemaah yang berbuka puasa di masjid ketika itu tidak terus makan kerana kami memang sentiasa melihat jam dan mengetahui waktu sebenar berbuka puasa.

“Nazir juga sudah memberi penjelasan terbuka kepada jemaah masjid sebelum kami mengerjakan solat tarawih semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau yang enggan dikenali dan merupakan seorang pendakwah bebas melihat perkara itu dari sudut positif dan berharap masyarakat dapat mengambil iktibar dan tidak mengambil ringan berhubung waktu berbuka puasa.

“Harap kita sama-sama dapat mengambil pengajaran dan mengulangkaji terutamanya berkenaan ilmu ibadat puasa,” katanya.

Seorang penduduk, Kerolnas Ibrahim berkata, dia menyedari azan Maghrib dilaungkan lebih awal dan pantas melayari internet menerusi telefon pintar miliknya untuk mendapatkan kepastian waktu berbuka puasa yang sebenar.

“Ketika itu saya masih berada di tempat berniaga di pasar malam Sri Gombak dan mendapati waktu berbuka puasa pada hari tersebut ialah pada pukul 7.19 malam.

“Saya lihat ramai peniaga dan pelanggan masih belum berbuka puasa sewaktu kejadian itu berlaku. Alhamdulillah,” katanya.

Pihak pengurusan Masjid Al-Khairiyah ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kebenaran perkara itu namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana penjelasan rasmi sudah dikeluarkan nazir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI