fbpx

Air telaga rumah di Kelantan tidak perlu mohon lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surat Pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019 yang tular di media sosial sejak semalam sehingga mencetuskan kebimbangan pengguna air telaga di Kelantan

KOTA BHARU – Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan menegaskan bahawa kegunaan perigi bagi tujuan domestik seperti penggunaan air telaga di rumah adalah di bawah kategori sara diri yang tidak perlu membuat permohonan lesen.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, bagi kegunaan perigi untuk perniagaan atau komersil, pemilik premis dikehendaki memohon Lesen Abstraksi Air Tanah dari Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan.

Katanya, jabatan itu turut mengesahkan bahawa surat yang tular sejak semalam adalah surat sah yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut kepada pemilik premis perniagaan yang menggunakan air tanah sebagai sumber air operasi supaya memohon Lesen Abstraksi Air Tanah.

“Ia bukan diberikan kepada pemilik rumah atau pemilik kediaman yang menggunakan perigi sebagai penggunaan isi rumah.

“Ini maklumat yang mengelirukan. Surat Arahan Pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019 yang tular sebelum ini dituju kepada pemilik premis perniagaan, komersil dan industri,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebagai contoh mudah, Pak Cik Ali memiliki perigi dan menggunakan perigi tersebut sejak 10 tahun yang lalu tidak perlu membuat permohonan Lesen Abstraksi Air Tanah.

Katanya, ini kerana penggunaan perigi Pak Cik Ali adalah bersifat sara diri untuk kegunaan isi rumah.

Ujarnya, sebagai contoh lain, anak Pak Cik Ali menggunakan perigi untuk kegunaan perniagaan kedai dobi layan diri 24 jam dan perlu memohon Lesen Abtraksi Air Tanah.

“Permohonan lesen itu perlu kerana penggunaan perigi tersebut adalah bersifat komersil dan bukan untuk kegunaan persendirian.

“Sehubungan dengan itu, untuk mengetahui proses lanjut berkenaan Permohonan Lesen Abstraksi Air Tanah, boleh hubungi Jabatan Sumber Air Kelantan di talian 09-747 5240,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu Surat Arahan Pematuhan kepada Seksyen 12 Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019 yang ditandatangani oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan), Jabatan Sumber Air Kelantan, Wan Asma Suhana Wahida Wan Deraman.

Melalui surat itu, sebuah premis berdepan tindakan denda tidak melebihi RM300,000 atau tambahan denda RM1,000 sehari sepanjang kegagalan atau pelanggaran berterusan.

Penularan surat itu sekali gus membimbangkan orang ramai yang beranggapan bahawa rakyat Kelantan yang mengguna sumber air tanah dari telaga tiub atau boring tanpa memohon lesen Abstraksi Air Tanah daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan akan berdepan dengan tindakan denda. -K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI