fbpx
AMAR BAHARIN

Duit banyak, rumah besar tak boleh bawa mati pun – Amar Baharin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon Amar Baharin mengakui pernah terlalu hanyut dengan dunia seni sehinggalah virus Covid-19 melanda dunia sekali gus memberi kesedaran kepada dirinya untuk mendekatkan diri dengan Islam.

Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd. Baharin berkata, ada hikmah Covid-19 berlaku. Antaranya, dapat meluangkan masa melakukan perkara yang tidak sempat dikerjakan kerana terlalu sibuk mengejar dunia sebelum ini.

“Ada hikmah Covid-19 melanda dunia. Buat saya, selama ini terlalu kejar dunia. Solat selalu tinggal sebab sibuk dengan kerja. Amalan lain jangan ceritalah. Memang ke laut.

“Sekarang ini, tinggal solat rasa dosa besar sangat. Lambat sikit tunaikan solat rasa tak senang duduk. Insya-Allah, saya harap dapat istiqamah begini sampai saya mati,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dilihat kini semakin kerap berkongsi hantaran video menghafaz al-Quran, suami kepada aktres Amyra Rosli itu bagaimanapun memberitahu, dia malu untuk mengakui perubahan yang sedang dilaluinya kini sebagai satu hijrah.

“Ada orang dua tiga hari sertai aktiviti tabligh, terus kata diri sudah berhijrah, pakai serban dan sebagainya. Tapi, itu terpulang.

“Kadang-kadang, saya malu untuk mengaku apa yang sedang berlaku dalam hidup sekarang adalah satu hijrah. Saya hanya nak jadi manusia yang lebih baik dan semoga Allah tetapkan iman saya.

“Semakin saya berusia, semakin saya sedar yang dunia ini hanya sementara. Duit banyak-banyak, kereta dan rumah besar, semua itu tak boleh bawa mati pun,” luahnya.

Dalam perkembangan terkini, Amar muncul dengan drama sebuah rantaian terbaharu berjudul Hati Yang Dikhianati yang sedang rancak ditayangkan di Astro Prima.

Terdahulu, bapa kepada dua cahaya mata itu sering berkongsi untaian video dirinya menghafaz al-Quran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE