LONDON – Pasukan penyelidik dari Universiti Harvard mendedahkan bahawa tindakan memukul anak akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan otak kanak-kanak, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Kajian terhadap 147 kanak-kanak itu mendapati perbuatan memukul atau dikenali sebagai hukuman fizikal akan mempengaruhi perkembangan otak mereka dengan cara yang sama sekiranya ‘bentuk kekerasan lebih teruk’ serta penganiayaan dilakukan.
Kanak-kanak yang dipukul memiliki peningkatan tindak balas saraf di beberapa kawasan korteks prefrontal (PFC) termasuk di kawasan dikenali sebagai ‘rangkaian kepetahan’ (SN).
Kawasan-kawasan ini bertindak balas kepada isyarat persekitaran yang cenderung memberi kesan seperti ancaman serta boleh mempengaruhi aktiviti membuat keputusan dan memproses situasi.
Seorang jurucakap Persatuan Kebangsaan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Kanak-Kanak (NSPCC) berkata, bukti jelas menunjukkan bahawa hukuman fizikal boleh merosakkan pertumbuhan kanak-kanak dan ia berkait dengan kesan yang lebih teruk apabila mereka meningkat dewasa.
“Kami menggalakkan ibu bapa supaya menggunakan kaedah alternatif dalam mengajar anak-anak mengenai perkara yang betul dan salah.
“Ia boleh digunakan dengan kaedah mendidik anak yang positif seperti mewujudkan sempadan yang jelas dan konsisten,” ujarnya.
Di Amerika Syarikat, perbuatan memukul kanak-kanak adalah dibenarkan, manakala di Britain dan Scotland, perbuatan hukuman fizikal terhadap kanak-kanak dilarang sama sekali bermula tahun 2020. – Agensi