fbpx

Kepantasan LUAS elak LRA Sungai Semenyih henti tugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota LUAS sedang meletakkan 10 beg serbuk karbon teraktif di Sungai Batang Benar bagi mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.

SHAH ALAM – Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan 10 beg serbuk karbon teraktif di Sungai Batang Benar yang tercemar susulan kebakaran kilang cat di Nilai 3, Negeri Sembilan dapat mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan mendapati terdapat aliran air berwarna putih telah masuk ke Tasik Ujana Nilai Impian sebelum masuk ke Sungai Batang Benar.

Katanya, insiden pencemaran itu dikesan berikutan kerja-kerja memadamkan api di kawasan kilang cat tersebut.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Sungai Semenyih.

“Siasatan LUAS mendapati jarak insiden adalah kira-kira 13.7 kilometer dan mengambil tempoh sembilan jam sebelum sampai ke muka sauk Jenderam Hilir ,Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, ujian pensampelan bau telah dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih yang mencatatkan kadar bau sifar ton.

Tambah Loy Sian, pihak badan kawal selia Air Negeri Sembilan juga telah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan Negeri Sembilan.

“Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga pukul 8 pagi hari ini di Jambatan Sungai Pajam mendapati ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran air sungai dalam keadaan normal.

“Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan pihak LUAS telah meletakkan 10 beg Serbuk Karbon Teraktif di Sungai Batang Benar untuk mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah,” katanya.

Jelas beliau, tiada sebarang henti tugas LRA Sungai Semenyih seterusnya berjaya mengelak sebarang gangguan bekalan air kepada pengguna. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI