fbpx

Warga emas nekad terjun kereta selepas disamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila dilarikan dua penjenayah sebelum disamun di Cyber City, di sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa yang berusia 60 tahun itu dikatakan baru selesai membeli barang di salah sebuah kedai serbaneka sebelum masuk ke dalam kereta miliknya.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali telah memasuki keretanya menerusi pintu penumpang belakang lalu mengarahkan mangsa berpindah ke tempat duduk belakang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd. Rakman berkata, pada masa sama seorang lagi lelaki turut masuk ke tempat duduk pemandu dan terus memandu kenderaan terbabit.

“Mangsa telah dipaksa duduk secara menunduk sepanjang jalan sehingga wanita berkenaan tidak tahu lokasi perjalanan mereka.

“Suspek juga mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai selain barang kemas yang dipakainya ketika itu, kerana bimbang dengan keselamatannya, dia terpaksa menyerahkan kepada suspek,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelasnya, mangsa mendakwa dia merayu supaya dibenarkan duduk kerana sakit belakang selepas kira-kira sejam perjalanan.

“Mangsa bagaimanapun mengambil keputusan terjun keluar daripada kenderaannya sebaik sahaja dibenarkan duduk.

“Dia akhirnya diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di lokasi berkenaan sebelum dibawa membuat laporan polis di Balai Polis berdekatan,” ujarnya.

Katanya, mangsa hanya mengetahui dia berada di daerah Papar selepas dimaklumkan orang awam yang membantunya.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM17,000,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 379A KK kerana samun secara berkumpulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI