fbpx

USIM rai 2,686 graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster Majlis Pengisythiran Konvokesyen USIM USIM Kali Ke-18.

PETALING JAYA – Seramai 2,686 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-18 selepas majlis tersebut tertangguh pada tahun lalu kerana penularan wabak Covid-19.

USIM dalam satu kenyataan berkata, majlis konvokesyen itu akan berlangsung bermula hari ini sehingga 18 April 2021 dan dilaksanakan dalam 23 sesi bertempat di Dewan Tuanku Canselor, USIM.

Majlis konvokesyen kali ini unik kerana dilaksanakan secara hibrid selari dengan norma baharu bersama pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-18 ini dimulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen pada 6 April 2021 yang disempurnakan oleh Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

“Pada majlis ini, Tuanku Canselor berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat dan anugerah kepada para graduan cemerlang,” katanya di sini semalam.

Katanya, graduan pula akan menerima ijazah masing-masing secara berperingkat dalam Majlis Konvokesyen yang diaturkan secara temu janji bermula 7 hingga 18 April dengan jumlah kehadiran yang minima bagi setiap sesi yang ditetapkan dengan rakaman gambar graduan menerima skrol diambil menggunakan teknik skrin hijau.

“Dua tokoh dalam lapangan masing-masing yang menerima Ijazah Kehormat ialah Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Perubatan dan Hassan Scott Odierno pula dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Aktuari.

“Pada majlis yang sama, Tuanku Canselor juga akan menganugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Wan Nur Ira Izyan Izani, graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Nur Ain Hannani Hamid, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi Makanan) dari Fakulti Sains dan Teknologi,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu katanya, turut menerima anugerah dari Tuanku Canselor ialah Iskandar Zulkarnain Shamsul, graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dari Fakulti Syariah Undang-Undang dan Mohd. Ilias M Shuhud, graduan Doktor Falsafah Sains dan Teknologi dari Fakulti Sains dan Teknologi dengan kedua-duanya menerima Anugerah Canselor.

“Dalam majlis konvokesyen kali ini juga diperkenalkan anugerah utama baharu iaitu Anugerah Lembaga Pengarah Universiti dengan penerima sulungnya ialah Raih Salsabila, graduan Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari Fakulti Sains dan Teknologi.

“Pingat Emas Naib Canselor dianugerahkan kepada Ahmad Anwaar Muhammad Saifullah yang merupakan graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, majlis konvokesyen kali ini turut meraikan 33 graduan sulung dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan iaitu Ijazah Sarjana Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian dan seorang graduan bagi Doktor Falsafah Undang-undang.

“Majlis Konvokesyen Ke-18 USIM mengangkat tema Sambutan 20 Tahun USIM iaitu ‘Berjasa, Berbudi Untuk Semua’ sebagai nilai yang ingin dikongsikan untuk dihayati oleh para graduan dalam Majlis Konvokesyen kali ini.

“Merupakan universiti Islam penuh pertama milik Kerajaan Malaysia yang ditubuhkan dengan nama awalnya Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), ia menyambut genap 20 tahun usianya pada 18 Jun 2020,” tambahnya.

Sehingga ke Majlis Konvokesyen Ke-17 USIM, seramai 22,669 alumni dalam pelbagai bidang pengajian dan kepakaran telah dilahirkan dan mereka inilah yang menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI