fbpx
INAPAN Seri Laksamana terletak Lubuk Kawah, Jitra, Kedah.

Nilai tanah pusaka Inapan Seri Laksamana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Arwah tok akan ‘lari’ dan sembunyi di dapur rumah jika nampak ada kereta mewah masuk kampung kerana bimbang kalau-kalau mereka datang nak minta beli tanah kerana arwah sangat sayangkan tanah pusaka ini.”

Demikian kata Mohd. Ghozwan Ibrahim, 49, bagi menggambarkan betapa bernilainya sebidang tanah seluas 0.86 hektar di Jalan Istana, Kampung Lubuk Kawah, Jitra dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Cerita itu diambil daripada arwah neneknya, Allahyarham Zainab Ishak.

Mengenangkan itu, bapanya, Ibrahim Yahaya, 74, bertekad terus menjaga tanah pusaka yang asalnya sebuah kebun getah dan memastikan tidak jatuh kepada orang lain.

“Saya dan bapa bersama tujuh beradik lain berbincang dan bersetuju memulakan projek membangunkan rumah penginapan berkonsepkan tradisional menggunakan nama Inapan Seri Laksamana bermula pada tahun 2016,” katanya ketika ditemui di Inapan Seri Laksamana baru-baru ini.

Mohd. Ghozwan, anak sulung daripada lapan beradik adalah Pengurus IL Impian Seri Laksamana Enterprise yang menguruskan inapan itu.

Tujuh beradik lain ialah Ismat Hilmy, 47; Mashrihan, 45; Syahiran, 41; Mohd. Zakwan Ibrahim, 40; Ribhan, 34; Nurul Farhan, 30, dan Nurul Izzah, 26.

Katanya, apa yang menarik, dua rumah kayu tradisional klasik di tapak inapan berkenaan juga adalah rumah pusaka berusia lebih 80 tahun milik arwah neneknya.

“Pada masa itu, tapak rumah arwah tok termasuk dalam projek Rancangan Tebatan Banjir dan bagi mengelakkan rumah tersebut dirobohkan, kami buat keputusan untuk pindahkan struktur ibu rumah (bahagian utama) ke tapak ini sejauh satu kilometer.

“Kita terpaksa mengupah tukang rumah untuk membuka strukur rumah dengan menanggalkan bahagian demi bahagian rumah sebelum dipasang semula di tapak ini yang mengambil masa kira-kira enam bulan,” ujarnya sambil memberitahu inapan itu mula beroperasi pada Mac 2017 dengan modal sendiri kira-kira RM100,000.

PEMANDANGAN dari udara Inapan Seri Laksamana di Jalan Istana, Kampung Lubuk Kawah, Jitra dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. – SHAHIR NOORDIN

Ujarnya, rumah pusaka itu dibahagikan kepada dua, menjadikan dua rumah penginapan dengan setiap satu lengkap dengan dua bilik tidur, satu ruang tamu serta dapur dan bilik air.

“Dua rumah penginapan ini juga mempunyai beranda untuk pengunjung berehat sambil menikmati udara segar dan angin sepoi-sepoi bahasa.

“Selain itu, kita menggunakan tikar mengkuang di dalam rumah serta meletakkan katil pengantin milik arwah nenek yang dijadikan tempat berehat di bawah rumah tradisional ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, di samping menerapkan elemen tradisional, kawasan lapang di inap desa itu juga dibangunkan dengan projek pertanian iaitu tanaman 68 pokok harumanis dan madu kelulut.

“Kita bangunkan kawasan ini sebagai destinasi agropelancongan yang mana pengunjung bukan sahaja boleh menginap di sini, malah berpeluang melawat ladang harumanis, tanaman pisang dan nanas serta rumah kelulut,” katanya.

Katanya, jika tiba musim harumanis, pihaknya akan menawarkan pakej makan pulut harumanis kepada pengunjung.

“Biasanya kita dengar harumanis di Perlis, namun di Kedah pun ada tanaman harumanis yang mana rasanya juga setanding.

“Jadi, bagi mereka yang ingin merasai kemanisan harumanis yang ditanam di Kedah, boleh menginap di sini pada musim buah yang dijangka bermula hujung bulan depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IL Impian Seri Laksamana Enterprise, Nurul Farhan Ibrahim, 30, berkata, harga sewa bagi sebuah rumah kayu tradisional klasik Kedah itu hanya RM200 semalam.

Katanya, pihaknya juga menawarkan tapak bagi majlis keramaian termasuk kenduri kahwin di kawasan inap desa tersebut.

“Pakej bagi tiga hari dua malam termasuk dua inap desa dan tapak khemah tidak termasuk peralatan tambahan lain seperti kerusi meja dan khemah hanya RM1,300.

“Pelanggan juga boleh ambil pakej makanan yang disediakan oleh Inapan Seri Laksamana sendiri iaitu pada dari harga RM13 seorang dan ia meliputi peralatan lain seperti kerusi, meja dan khemah kenduri,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat Universiti Utara Malaysia.

PENTERNAKAN kelulut untuk madu turut dibina menerusi projek pertanian di kawasan inap desa tersebut.

Kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu, pihaknya juga menawarkan majlis keramaian bertemakan Melayu tradisional dengan pakaian berkonsepkan hulubalang serta persembahan silat.

Tambahnya, mereka juga bersedia membawa pengunjung berkunjung ke mana-mana destinasi menarik di negeri ini seperti sawah padi, muzium padi dan Kompleks Pekan Rabu, mengikut permintaan pengunjung.

Menurut Nurul Farhan, sambutan yang diterima sebelum pandemik Covid-19 sangat menggalakkan yang mana biasanya penuh pada setiap cuti sekolah dan musim perayaan.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi perlahan sejak penularan Covid-19, Mac lalu termasuk ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Ujarnya, situasi ketika ini masih mencabar kerana kerajaan masih melarang pergerakan rentas negeri.

“Kita berharap penularan Covid-19 dapat dikawal dengan adanya program vaksinasi, seterusnya menggalakkan lagi perkembangan sektor pelancongan dalam negara,” katanya.

Katanya, pihaknya merancang untuk membina chalet yang juga berkonsepkan tradisional Melayu dan membuka galeri barangan tradisional orang Melayu untuk pengunjung Inapan Seri Laksamana.

“Selain itu, kita juga akan menyediakan perkhidmatan mandi wap dan urutan tradisional di sini. Kawasan ini secara keseluruhannya nanti bagaikan satu perkampungan tradisional budaya Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, projek agropelancongan Inapan Seri Laksamana itu mendapat bantuan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2017.

“MADA sangat membantu dalam membangunkan projek agropelancongan ini menerusi geran tahunan sebanyak RM90,000 meliputi penyediaan landskap, sarang kelulut, gazebo, pergola, mesin rumput, pembinaan bilik air dan tandas serta pintu pagar masuk,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN