fbpx

Cadang hukuman RM15 juta, penjara terhadap individu cemar sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang meneliti semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 agar hukuman terhadap pesalah kes pencemaran sumber air dapat dikompaun sehingga RM15 juta dengan penjara mandatori.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak kementerian akan membawa usul berkenaan di peringkat Parlimen tidak lama lagi.

Katanya, ketika ini, akta itu memperuntukkan hukuman kompaun sebanyak RM2,000 hingga RM15,000 yang dikira bahawa hukuman berkenaan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Kita mahu tingkatkan hukuman kompaun sehingga RM15 juta selain hukuman mandatori penjara.

“Apabila berlaku pencemaran sungai, loji terpaksa menutup operator air dan keadaan itu menyebabkan pihak kementerian perlu menyediakan lori untuk menghantar bekalan kepada penduduk sepanjang tempoh sistem berkenaan ditutup.

“Apabila berlaku keadaan itu, kita tidak memberikan sebarang caj sedangkan kita perlu menanggung kos yang tinggi. Jadi, kita mahu mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran air itu menanggung kos kerugian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi Perdana Bagi Kerja-Kerja Di Bawah Peruntukan KASA bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Tuan Ibrahim, individu atau pengilang yang dikesan menyerahkan sisa buangan kepada ejen tidak berlesen juga akan berdepan tindakan tegas.

Katanya, tindakan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual itu menjadi kesalahan besar kerana menyumbang kepada pencemaran air.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI