fbpx

UniKL bangkit ke final Piala TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain UniKL meraikan kejayaan mereka mara ke final selepas menewaskan TNB dengan keputusan agregat 4-1.

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bangkit penuh bergaya memastikan tempat mereka ke pentas final Piala TNB musim ini sekali gus mencerahkan peluang untuk mempertahankan gelaran trebel dimenangi tahun lalu.

UniKL yang telahpun menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia musim ini, bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kemenangan itu mengesahkan UniKL ke pentas final dengan keputusan agregat 4-1 ke atas TNB selepas terdahulu menang 1-0 sewaktu separuh akhir pertama pada Ahad lalu.

Dalam aksi itu, TNB yang dikendalikan Nor Azlan Bakar kembali membuka peluang selepas berjaya membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Shamir pada minit ke-32.

Bagaimanapun, UniKL bangkit melenyapkan harapan TNB dengan tiga gol pukulan sudut penalti dalam suku masa terakhir yang disempurnakan Muhamad Hafiz Zainol pada minit ke-47, Muhammad Marhan Mohd. Jalil (m-53) dan Muhammad Razie Abd. Rahim (m-59).

“Pemain tetap fokus dengan perancangan pasukan walaupun ketinggalan satu gol. Satu halangan sahaja lagi untuk kami meraih kejuaraan trebel musim ini.

“Saya anggap kesabaran dan ketenangan pemain dalam usaha mencari peluang menjaringkan gol adalah salah satu faktor kejayaan ini,” kata ketua jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi.

UniKL akan membuat perhitungan dengan seteru utama, Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada aksi final, Sabtu ini sekali gus mengulangi perlawanan akhir edisi tahun lalu.

Sebagai rekod, THT mara ke final musim ini dengan agregat 4-1 ke atas Maybank selepas menang 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua petang tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI