fbpx

Penunggang Agama percubaan Syafiq Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ mengetengahkan isu keagamaan dalam filem terbaharunya, Penunggang Agama.

HAMPIR dua tahun tidak muncul dengan naskhah terbaharu, Skop Production Sdn. Bhd. hadir dengan filem Penunggang Agama.

Sekali lagi mengetengahkan naskhah sarat unsur keagamaan, Penunggang Agama merupakan hasil arahan pengarah berbakat besar, Syafiq Yusof.

Buah tangan berkisarkan isu kontroversi yang cukup dekat dengan masyarakat tersebut diterajui barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan, Datuk Jalaluddin Hassan, Salina Saibi dan Sabrina Ali.

NASIR BILAL KHAN, Jalaluddin Hassan dan Salina Saibi antara pelakon hebat yang menghidupkan jalan cerita Penunggang Agama.

Cabaran

Biarpun sudah sebati dengan suspens, Penunggang Agama bukanlah satu perkara mudah, namun cabaran besar tersebut yang ingin dirasai Syafiq.

“Kali ini, saya memilih genre islamik kerana cabarannya berbeza. Banyak rujukan yang perlu saya buat, terutamanya semasa penghasilan skrip dan pembahagian adegan.

“Banyak benda yang perlu dititikberatkan terutama tentang bacaan ayat al-Quran. Jadi semua aspek itu tidak dipandang remeh sebab boleh mengundang sensitiviti,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Penunggang Agama baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang inspirasi untuk menzahirkan filem tersebut, Syafiq berkata dia turut menyuntik kisah benar dan pengalaman sendiri.

“Biarpun dicedok daripada pengalaman sendiri dan situasi yang berlaku di sekeliling, saya realisasikan semua itu dalam bentuk fiksyen.

“Realitinya, isu penunggang agama memang wujud Malaysia termasuk situasi apabila masih ramai mempercayai bomoh tidak bertauliah. Saya juga pernah bertemu lelaki berperwatakan alim tetapi hakikatnya semua hanyalah palsu

“Saya cuba menyampaikan mesej-mesej positif yang diharap boleh dijadikan pengajaran buat kita semua, jangan mudah terpedaya dengan luaran individu yang menggunakan agama untuk keuntungan diri sendiri,” kongsinya.

DISEBABKAN watak Amir yang dilakonkan dalam filem Penunggang Agama, Zul Ariffin digelar PU Zul semasa di lokasi penggambaran.

Rasa

Syafiq yang pernah mengarah filem Desolasi itu mengakui menjadikan Munafik dan Khurafat arahan abangnya, Syamsul Yusof sebagai inspirasi.

“Sememangnya saya mahu penonton mendapat ‘rasa’ yang sama seperti menyaksikan karya-karya abang saya.

“Ini filem baharu tetapi ada perasaan yang sama. Seboleh-bolehnya ingin kembalikan semula era filem seram islamik yang pernah dihasilkan Skop Production,” katanya.

Menurut Syafiq atau nama penuh, Mohd Syafiq Mohd Yusof antara cabaran terbesar yang perlu dihadapinya ialah peruntukan bajet oleh Astro First mendorong dirinya menyiapkan filem Penunggang Agama, akhir tahun lalu.

Bajet dan kualiti

“Seperti yang anda tahu, dua filem saya iaitu Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3 terperam dan tidak dapat ditayangkan sejak setahun lalu.

“Jadi, papa (Datuk Yusof Haslam) minta saya lakukan sesuatu untuk produksi Skop Production dan dia mencabar agar saya dapat menghasilkan sebuah karya seram berunsurkan islamik.

“Saya memang tiada rancangan mahupun niat untuk menayangkan filem ini di pawagam, cukup hanya menyiarkannya di Astro First.

“Jadi, cerita ini dihasilkan mengikut bajet yang telah diberi bersesuaian dengan skala televisyen. Kalau hendak kualiti setaraf filem, mungkin bajetnya juga perlu besar,” katanya yang enggan mendedahkan bajet penghasilan filem Penunggang Agama.

Sementara itu, Zul yang memegang watak Amir teruja dipilih untuk terlibat dalam filem tersebut meskipun pernah dihurung rasa risau untuk melakonkan karakter islamik.

Namun akuinya, disebabkan filem tersebut diarahkan oleh Syafiq, dia berani menyahut cabaran untuk menjayakan watak berkenaan.

“Sebenarnya saya takut mahu jayakan watak Amir kerana menyentuh isu agama. Saya juga manusia yang serba kekurangan.

“Tetapi apabila tahu Syafiq sebagai pengarah, kerisauan tersebut hilang kerana dia tahu apakah kelemahan dan kekuatan saya.

“Lucunya dalam filem ini, ramai yang menggelar saya Pencetus Ummah (PU) Zul sepanjang tempoh pengambaran,” tuturnya.

Filem kerjasama Skop Production dan Astro Shaw tersebut memulakan tayangan menerusi Astro First bermula 25 Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI