PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan 100,000 komuniti dalam kawasan rukun tetangga (KRT) berdaftar untuk menerima vaksin Covid-19 dalam tempoh dua minggu ini.
Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pada masa ini, ahli-ahli KRT yang berjumlah 248,000 di 8,330 kawasan itu seluruh negara telah bergerak untuk kempen ‘Vaksin Untuk Semua’ dan mendaftarkan seramai 62,256 individu untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata, kerjasama strategik bersama Kementerian Kesihatan dipergiat bagi meningkatkan jumlah pendaftaran penerimaan vaksin terutama dalam kalangan warga emas untuk pelaksanaan fasa dua PICK tidak lama lagi.
“Kita akan menggerakkan seluruh jentera KRT termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah kementerian dalam usaha ini untuk menjadi penggerak utama dalam komuniti.
“Paling penting kita mahu semua 248,000 ahli KRT ini berdaftar terlebih dahulu dan kita akan menggerakkan mereka melangkaui kawasan lain tidak terhad dalam kawasan KRT sahaja. tetapi ke kawasan luar bandar juga kerana kita tahu masyarakat di luar bandar tidak semua ada telefon pintar untuk berdaftar melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan program di bawah inisiatif Gaya Hidup Sihat Komuniti Perpaduan-Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tempoh 2021-2025, di sini hari ini.
Sementara itu, Adham berkata, Kementerian Kesihatan akan menggerakan 42,812 di bawah enam ejen atau sukarelawan komuniti untuk memainkan peranan dalam membudayakan amalan cara hidup sihat dan penjagaan kesihatan kendiri.
“Ia adalah antara usaha kerajaan dalam Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh pemimpin komuniti dan lapisan masyarakat dalam mengekang penularan Covid-19.
“Usaha melawan pandemik ini wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setia kawan yang erat daripada seluruh rakyat,” katanya.-K!ONLINE