fbpx

Awang Sira, Mek Bersia dipindahkan ke Hutan Simpan Belum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mek Sira diapit dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai untuk dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Gerik hari ini.- IHSAN PERHILITAN PERAK

GERIK – Seekor gajah jantan dan ibunya yang berkeliaran merosakkan tanaman penduduk di Felda Bersia di sini, berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak hari ini.

Gajah berusia dua hingga tiga tahun yang diberi nama Awang Sira dan ibu, Mek Bersia berusia 30 hingga 35 tahun itu dipindahkan ke Hutan Simpan Belum dengan bantuan dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai.

Berat dua ekor gajah itu masing-masing dianggarkan antara 1,800 hingga 2,000 kilogram (kg) dan 200 hingga 250 kg.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, dua ekor gajah itu ditangkap dalam operasi disertai tujuh anggota dari Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP) pada Isnin lalu.

Katanya, operasi itu dijalankan selepas mendapat maklumat daripada penduduk kampung mengenai kehadiran mamalia itu berhampiran kebun mereka.

“Gajah ini menjadikan Hutan Simpan Temengor sebagai kawasan keliaran dan telah turun ke kawasan kampung untuk mencari makanan.

“Kehadiran haiwan itu telah mendatangkan ketakutan kepada penduduk untuk ke kebun selain merosakkan tanaman seperti getah dan kelapa sawit,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, gajah tersebut merupakan gajah liar daripada ID Kumpulan Temengor yang dianggarkan berjumlah antara 25 hingga 30 ekor (gajah konflik).

Katanya, kumpulan gajah itu juga adalah gajah sama yang mengganggu kawasan di Felda Bersia, Kampung Sira Panas, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun, RPS Kemar, Lebuhraya Timur-Barat dan kawasan sekitar.

“Gajah ini merupakan gajah kedua yang ditangkap UTGP di kawasan ini dalam tempoh lima tahun di mana pada tahun 2019, seekor gajah jantan dewasa berjaya di tangkap di Kampung Bersia Lama dan dipindahkan ke Hutan Simpan Belum,” katanya.

Tambah beliau, seramai 20 kakitangan Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Lanchang, Pahang terlibat dalam kerja-kerja memindahkan gajah tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN