fbpx

MAIS fail jadi pihak pencelah berhubung kalimah Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor ( MAIS ) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menjadi pihak pencelah dalam kes rayuan berhubung kebenaran kepada penganut kristian dalam penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, langkah itu sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible untuk terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di dalam negeri ini.

Katanya, pihaknya turut menyokong penuh tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Kerajaan Malaysia untuk merayu keputusan tersebut.

“MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah merupakan suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

“Justeru, kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain daripada agama Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya bertanggungjawab sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama Islam di dalam Selangor selepas Sultan Sharafuddin untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam.

Ujar Abdul Aziz, ini termasuk menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah tersebut jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam.

“Ingin ditegaskan di bawah seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988), mana-mana orang bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan Islam di dalam Selangor adalah merupakan suatu kesalahan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain dan wajib bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah tersebut.

“Justeru, MAIS menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam penerbitan agama Kristian.

“Ini berikutan boleh membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam khususnya di Selangor,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Sultan Sharafuddin bertitah penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible untuk terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan sebarang buku dan tulisan agama kristian dalam
apa bentuk sekalipun tetap dilarang sama sekali di negeri ini. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI