fbpx
Keadaan pokok yang tumbang awal pagi tadi.

Pokok usia 127 tahun di ‘bangunan merah’ tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Pokok ikonik yang menjadi lokasi tumpuan pelancong merakamkan gambar kenangan saat berada di kawasan Bangunan Stadthuys atau ‘bangunan merah’ di sini akhirnya ‘rebah’ awal pagi tadi.

Pokok jenis Batai Laut berusia 127 tahun yang ditanam sejak penjajahan British itu tumbang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi dipercayai berpunca daripada akarnya yang reput.

Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Moahzam Shaari berkata, pihaknya menerima berita sedih itu dan tiba di lokasi pukul 7 pagi untuk memeriksa keadaan pokok tersebut.

“Kita percaya pokok ini telah tumbang disebabkan akarnya telah reput setelah ‘berdiri’ dalam tempoh agak lama iaitu sejak di zaman pemerintahan British pada tahun 1894.

“Kami tidak menolak kemungkinan faktor persekitaran seperti laluan trafik yang sibuk turut menyumbang kepada kejadian itu. ketika ini, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka selesai pukul 2 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi, pagi tadi.

Moahzam memberitahu, pihaknya akan melakukan penanaman semula pokok baharu di kawasan terbabit bagi menjaga imej lokasi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kita akan menanam semula pokok baharu dalam masa terdekat, namun untuk mendapatkan pokok yang mampu bertahan lama seperti ini memang sangat susah.

“Apapun, kita akan cuba memikirkan spesies pokok lain yang sesuai ditanam di kawasan ini bagi menggantikan pokok yang sudah berusia lebih 120 tahun ini,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR