fbpx

Bulan & Pria Terhebat kini menerjah Astro First

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Bulan & Pria Terhebat lakonan Zahirah MacWilson mula menemui penonton menerusi Astro First sejak 11 Mac lalu.

SELEPAS hanya sempat ditayangkan di pawagam selama lima hari bermula 12 Mac tahun lalu sebelum dihentikan gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), filem Bulan & Pria Terhebat (BPT) akhirnya menoktahkan penantian peminat.

Filem arahan sutradara Ghaz Abu Bakar tersebut akhirnya kembali menemui penonton apabila ditayangkan oleh Astro First menerusi Pawagam Rumah Anda bermula 11 Mac lalu.

Menariknya, fi­lem yang berdurasi selama satu jam 53 minit berkenaan mengangkat tema hero wanita. Malah kali ini penonton dapat menyaksikan kemampuan pelakon utamanya iaitu Zahirah MacWilson selaku Bulan melakukan adegan aksi.

BPT mengisahkan tentang Bulan, seorang pelatih dalam pasukan tentera khas Indonesia yang menyeludup masuk ke sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang diperdaya menjadi gadis liburan atau pelacur di Malaysia.

Bulan kemudian bertemu dengan Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang sudi membantunya mendapatkan kembali Melati daripada genggaman bapa ayam, Agus (Khir Rahman) dan ketuanya, Ricky lakonan Sein Qudsi.

BUAT pertama kali, penonton dapat menyaksikan sisi baharu aktres Maya Karin yang membawakan watak antagonis iaitu Tony dalam BPT.

Bagaimanapun, nyawa Bulan terancam selepas Ricky mengupah pembunuh upahan bernama Tony (Maya Karin) untuk membunuhnya.

Selain nama-nama di atas, BPT turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Aprena Manrose, Marisa Yasmin, Mimi Ernida dan Alif Hadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment yang juga selaku penerbitnya, Nik Iruwan Nik Izani, keputusan untuk membawa tayangan Bulan & Pria Terhebat ke platform Astro First diputuskan selepas mengambil kita faktor semasa pandemik Covid-19.

“Kami percaya dalam norma baharu sekarang, platform Astro First mampu membawa karya ini terus kepada penonton di luar sana secara menyeluruh.

“Harapan kami agar kehadiran filem ini dapat menghiburkan penonton dengan hasil kualiti produksi yang menampilkan keunikan tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Hero, Hari Wanita

Sementara itu Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, tayangan filem tersebut dianggap sesuai dengan sambutan Hari Wanita Sedunia yang diraikan bulan ini.

“Elemen hero wanita sentiasa menjadi perhatian penggemar filem. Jadi kami bawakan buat pertama kali filem tempatan yang mengangkat watak hero wanita terus ke Pawagam Rumah Anda.

“Selepas trailer versi baharu filem ini dikongsikan dalam media sosial, rata-rata peminat dan penonton berkongsi rasa teruja.

“Tahun lalu ramai yang tidak berkesempatan ke pawagam, jadi dengan adanya peluang menonton di rumah, penonton dapat menikmatinya bersama seisi keluarga,” katanya.

SELAIN Zahirah dan Zizan yang memegang watak utama, BPT turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Bell Ngasri (kanan) dan Alif Hadi (kiri).

Runut bunyi rasmi untuk filem berkenaan dinyanyikan oleh Akim & The Majistret berjudul Roulette yang merupakan ciptaan Hang Nadim, Gjie dan Beby sementara liriknya pula oleh Hang Nadim.

Saksikan BPT yang berada di Pawagam Rumah Anda menerusi Astro First bermula 11 Mac dengan cara melanggan saluran 480 atau juga strim melalui Astro Go dan On Demand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI