GEORGE TOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berjaya mengenal pasti punca kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.2 di bawah Jambatan Pulau Pinang dekat Perai di sini pada 22 Februari lalu.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, laporan siasatan berhubung kejadian itu akan dihantar kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.
Menurutnya, pihak berkenaan akan meneliti punca kebakaran yang dikeluarkan oleh pihak bomba nanti sebelum mendedahkan perkara tersebut.
“Dalam ujian yang dilaksanakan kami juga mendapati kebakaran yang berlaku itu tiada kaitan dengan sebarang unsur khianat.
“Kita beri keutamaan kepada pihak TNB untuk mendedahkan tentang punca kejadian kebakaran yang berlaku di bawah Jambatan Pulau Pinang bulan lalu,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pengguna Jambatan Pulau Pinang dikejutkan dengan kepulan asap yang keluar dari jeriji besi jalan raya akibat kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.2 jambatan itu.
Kebakaran itu melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sekali gus menyebabkan kesesakan teruk sehingga lebih lima jam.
Kebakaran itu juga menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang menggunakan bot untuk memadamkan kebakaran berikutan kabel elektrik itu terletak di bawah jambatan.
Terdahulu, Saadon bersama 40 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Jalan Perak di sini. – K! ONLINE














