SHAH ALAM – Sindiket penyeludupan rokok yang sering menggunakan khidmat tonto dalam mengawasi pergerakan pihak berkuasa bukanlah menjadi masalah yang besar, sebaliknya ia satu kelebihan dalam mengesan kegiatan haram itu.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, kehadiran tonto akan memudahkan tugas pasukannya dalam melakukan intipan dan serbuan terhadap sindiket pengedaran rokok seludup.
“Kita tahu tonto memang digunakan dalam kegiatan seludup rokok selama ini kerana mereka bertindak sebagai ‘mata-mata’ atau pasukan peninjau dalam memastikan laluan bebas daripada pihak berkuasa.
“Namun kini, bukan tonto-tonto yang mengawasi kami, sebaliknya kami yang memerhatikan mereka. Kalau ada tonto di sesuatu kawasan, ini bermakna barangan seludup itu akan melalui lokasi tersebut.
“Kehadiran tonto adalah petanda wujudnya kegiatan penyeludupan sama ada di bandar kecil, kampung atau jeti pangkalan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ketika ditanya sama ada terdapat sebarang ancaman sepanjang operasi, Muhammad memberitahu, penyeludup kini menggunakan media sosial untuk memberi persepsi negatif terhadap pihak berkuasa termasuk PGA.
“Mereka akan membuat tohmahan liar kononnya anggota PGA menerima rasuah untuk membangkitkan kemarahan netizen yang akan menghukum kami tanpa usul periksa,” ujarnya.
















