fbpx
Jemau Alang (kiri) dan anaknya menunjukkan pokok pisang yang baharu mengeluarkan hasil musnah diserang sekumpulan lima gajah liar di Kampung Char, Pos Hendrop, Gua Musang.

Gajah liar musnahkan kebun empat sekeluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Empat sekeluarga Orang Asli di Kampung Char, Pos Hendrop di sini mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas 1,000 batang pokok pisang yang baru mengeluarkan hasil enam bulan lalu dimusnahkan sekumpulan gajah liar.

Seorang pekebun, Jemau Alang, 53, berkata, selain pisang, ribuan pokok ubi, kelapa dan pinang yang ditanam di kawasan seluas lapan hektar itu turut dimusnahkan sejak seminggu lalu.

Katanya, ini merupakan kali pertama dia berdepan serangan gajah sejak mereka mengusahakan kebun di kawasan itu tiga tahun lalu.

“Kejadian terbaharu disedari kami pada pukul 7 pagi semalam apabila gajah berkenaan kembali merosakkan tanaman pisang kami.

“Kami bimbang jika keadaan berterusan akan menjejaskan sumber pendapatan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Char di sini hari ini.

Jemau berkata, mereka sekeluarga khuatir sekumpulan gajah liar itu masih berada dalam hutan berhampiran dan mungkin keluar semula bagi memusnahkan kebunnya.

Katanya, dia menanam 5,000 pokok pisang di kawasan itu dan mula mengeluarkan hasil sejak enam bulan lalu.

“Masih ada lagi 4,000 batang pokok pisang jenis berangan dan kebatu yang akan dipasarkan ke Bandar Gua Musang, namun kami bimbang serangan gajah liar itu akan berulang jika tiada tindakan untuk menangkapnya.

“Kami mengambil pisang di kebun seminggu sekali dan mampu memperoleh pendapatan antara RM600 hingga RM1,000. Kami bercadang untuk menanam melebarkan kawasan tanaman, namun ia mungkin terbantut ekoran masalah serangan gajah ini,” katanya.

Sementara itu, anak lelaki Jemau, Nozi, 30, pula berkata dia tiada pekerjaan lain dan hanya bergantung kepada hasil tanaman untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

Katanya, apabila berlaku kejadian itu, mereka rasa kecewa kerana hasil titik peluh dimusnahkan sekelip mata.

“Kami berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera menangkap kumpulan gajah berkenaan.

“Sekiranya haiwan bersaiz kecil seperti babi, kami boleh halau dengan membina pagar atau perangkap. Tetapi gajah terlalu besar dan sukar untuk kami sendiri menghalaunya,”katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN