fbpx

16 bekas ahli gagal isytihar UMNO parti tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 16 bekas ahli UMNO hari ini gagal dalam permohonan mereka di Mahkamah Persekutuan bagi perisytiharan bahawa UMNO adalah parti yang tidak sah kerana melanggar perlembagaannya.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO tersebut.

Mereka ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd. Ishak, Mohd. Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd. Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd. Suhot, Kamarul Abd. Wahid, Mohd. Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd. Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata rayuan itu sudah menjadi akademik kerana ia difailkan oleh mereka yang bukan lagi ahli parti tersebut.

“Parti berkenaan juga sudah selesai menjalankan pemilihan di semua peringkat. Oleh itu, perkara ini sudah menjadi akademik,” katanya pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Selain Azahar, turut bersidang dalam prosiding itu, Hakim Mahkamah Perseketuan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada Februari 2019, kesemua 16 bekas ahli UMNO selaku pemohon diberikan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) seperti yang diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018 dalam memberikan UMNO pelanjutan tempoh untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019 yang melepasi tempoh maksimum.

Selanjutnya mereka turut memohon perintah mandamus untuk mendesak RoS membubarkan sementara UMNO dan menggantung semua aktiviti UMNO sehingga selesai semakan kehakiman itu.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan kumpulan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan RoS.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md. Said ketika itu, menolak permohonan 16 mereka selepas membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara dan memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertelingkahan antara ahli dalam parti politik.

Beliau berkata, Seksyen 18C Akta Pertubuhan menyatakan keputusan parti politik atau perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI