fbpx

TH agih keuntungan 3.10 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tabung Haji

PETALING JAYA – – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.

Agihan keuntungan tersebut adalah lebih tinggi berbanding 3.05 peratus pada tahun 2019 dan akan diagihkan kepada kira-kira sembilan juta pendepositnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH tahun lalu yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” ujar beliau menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jumlah deposit di TH telah mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari lalu iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekaligus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

Jelas kenyataan itu, urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam (2 Mac) sehingga 12 tengah hari esok (3 Mac) bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

“Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari pada hari Rabu, 3 Mac menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat.

“Semakan juga boleh dilakukan menerusi saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, TH turut memaklumkan tentang pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada 2019 jadi para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI