fbpx

Anjing Lady Gaga ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LADY GAGA bersama anjing-anjing peliharaannya sebelum ini.

LOS ANGELES – Penyanyi pop Hollywood, Lady Gaga kini boleh menarik nafas lega apabila dua ekor anjing kesayangannya baka French bulldog akhirnya berjaya ditemui.

Kedua-dua anjing berkenaan, Koji dan Gustav kini sudah dikembalikan kepada wakil penyanyi tersebut semalam waktu Malaysia.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai anjing yang ditemui tidak diperincikan pihak polis.

Memetik Associated Press, seorang wanita dipercayai menyerahkan kedua-dua anjing itu ke Balai Polis Olympic Community, Los Angeles dan wakil Gaga mengesahkan haiwan tersebut adalah milik pelantun lagu Bad Romance itu.

Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Germanotta, 35, sebelum ini menawarkan ganjaran lumayan sebanyak AS$500,000 (RM2.03 juta) kepada mana-mana pihak yang menjumpai haiwan peliharaan kesayangannya itu.

DUA ekor anjing kesayangan Gaga yang dilaporkan hilang kini telah diserahkan kepada pihak polis.

Menerusi pemeriksaan polis, wanita yang memulangkan anjing tersebut tidak terlibat dalam insiden tembakan dan penculikan berkenaan.

Sehingga kini juga, tiada maklumat lanjut sama ada wang ganjaran sebagai mana ditawarkan Gaga sudah pun dituntut atau diberikan kepada wanita berkenaan.

Malam Rabu lalu, penjaga anjing Gaga, Ryan Fischer cedera selepas dia ditembak oleh dua suspek lelaki yang kemudiannya membawa lari dua anjing kepunyaan Gaga.

Seekor lagi anjing Gaga, Miss Asia bagaimanapun sempat melarikan diri dan berjaya ditemui polis pada hari sama.

Gaga dalam posting di laman Twitternya, meluahkan rasa terima kasih terhadap Ryan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan anjing peliharaannya.

“Saya akan terus menyanjung awak Ryan sebab awak sanggup risikokan nyawa sendiri demi menyelamatkan anjing saya. Awak adalah hero sebenar,” tulis Gaga.

Ryan masih lagi mendapatkan rawatan di hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketika kejadian, Gaga berada di Rom, Itali bagi menjalani penggambaran filem terbaharunya, Gucci. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI