fbpx
TANGKAP layar rakaman video yang tular di media sosial mengenai dakwaan ajaran agama baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’.

Majlis Raja-Raja putuskan status ajaran ‘Agama Melayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Majlis Raja-Raja akan memutuskan status ajaran ‘Agama Melayu’ yang dibawa oleh seorang individu baru-baru ini,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Beliau berkata, pihaknya selesai bermuzakarah bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri mengenai ajaran ‘Agama Melayu’ minggu lalu dan keputusan telah diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

“Perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal  Ugama Islam (MKI) kali ke -118 minggu lalu dan kini menunggu keputusan Majlis Raja-Raja sebelum boleh diumumkan.

“Saya tidak boleh komen lanjut. Selepas pengumuman dilakukan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, Jakim akan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk makluman dan hebahan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim- YWM dan Pelepasan  Konvoi Program Musa’adah  Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim- Yayasan Wakaf Malaysia (Jakim-YWM) ke Kelantan di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Majlis pelepasan telah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad al- Bakri.

Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Kelantan  yang memasuki siri ke-3 itu menyaksikan bantuan berjumlah RM60,000 disalurkan ke lokasi Pasir Mas yang menjadikan jumlah keseluruhan bantuan disalurkan setakat ini berjumlah RM200,000.

Masjid Negara Kuala Lumpur turut menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan sebanyak RM10,000 selain sumbangan pihak Ajinomoto (Malaysia) Berhad berbentuk pek barang makanan kering bernilai RM4,250 dan sumbangan ke Tabung Musa’adah Covid-19 berjumlah RM5,000.

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad  turut sama menyumbang ke Tabung Musa’adah Covid-19 sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan rumah-rumah perlindungan orang bukan Islam terpilih. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI