fbpx
Salah satu kapal Tentera Laut Myanmar yang membawa pulang lebih 1,000 warga mereka melalui Pangkalan TLDM Lumut hari ini. Pix ihsan JIM.

Lebih 1,000 warga Myanmar dihantar pulang hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka melalui pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini hari ini.

Kesemua mereka ditahan di depot-depot imigresen seluruh negara sejak tahun lalu itu dibawa pulang menggunakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, proses penghantaran pulang itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM, National Task Force (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ingin menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah PATI warga Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, program penghantaran pulang itu adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM bagi tahanan yang ditempatkan di depot imigresen.

Beliau berkata, JIM melalui Kementerian Dalam Negeri dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depot-depot imigresen dalam jumlah yang besar. – K! ONLINE.