fbpx

K2

Tinggalan pangkalan tentera jadi negara mikro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGKALAN tentera lama Fort Rough dibina bagi mengekang serangan kapal Nazi di sekitar kawasan tersebut pada Perang Dunia Kedua.

“KETIKA itu saya baru berusia 14 tahun. Ayah membawa kami sekeluarga bercuti selama enam minggu sempena dengan cuti musim panas.

“Apabila diberitahu kami sekeluarga akan mengunjungi sebuah pangkalan tentera lama yang terbiar di tengah lautan, saya beranggapan ayah mahu membawa kami mengembara.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka ayah mempunyai ‘misi’ nya yang tersendiri,” kata Michael Roy Bates, 68, putera Sealand.

Jika dilihat dari ruang udara, Principality of Sealand yang terbentuk di tengah-tengah Laut Utara kelihatan tidak ubah seperti sebuah pelantar minyak.

Bagaimanapun, kawasan itu sebenarnya sebuah ‘negara’ yang kini berusia 54 tahun. Ia dikategorikan sebagai negara mikro iaitu negara-negara terkecil terhasil atas pelbagai faktor bergantung kepada sejarahnya.

Kedudukan Principality of Sealand yang strategik iaitu berada pada 6 kilometer dari garis sempadan milik kerajaan United Kingdom meletakkan negara tersebut di dalam perairan antarabangsa.

Dijadikan sebuah negara secara rasmi pada tanggal 2 September 1967 oleh bapa Michael, Paddy Roy Bates bersempena ulang tahun kelahiran ibunya, Joan Collins, Principality of Sealand pada asalnya merupakan sebuah pengkalan tentera laut British yang dibina pada tahun 1943.

Pangkalan dikenali Fort Rough itu dibina bagi mengekang serangan dan ancaman kapal-kapal Nazi sekitar kawasan itu pada Perang Dunia Kedua.

Pertama kali menjejakkan kaki ke pangkalan Fort Rough, Michael yang kini menjalankan perniagaan eksport makanan laut ke Sepanyol mendakwa, tiada apa yang istimewa di kawasan itu melainkan sebuah platform yang gah berdiri dengan bangunan seperti kontena di atasnya.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan pada waktu itu. Semuanya sukar dan samar-samar kerana ia merupakan kawasan yang telah lama ditinggalkan.

“Kehidupan di sini hanya bermula dengan sebatang lilin sebelum ayah kemudian menggunakan lampu yang menggunakan kuasa generator.

“Saya langsung tidak mengharapkan apa-apa daripada pangkalan ini kerana kami sedia maklum, ia dibina secara haram di luar perairan wilayah Britain sewaktu perang,” cerita Michael lagi.

Digunakan pada Perang Dunia Kedua sehingga ditinggalkan pada tahun 1956, jelas Michael, sejak awal lagi Ford Rough sepatutnya dimusnahkan oleh pihak berkuasa British. Dibiarkan hampir 11 tahun tanpa penghuni, pangkalan tersebut mula menjadi rebutan pada tahun 1967 termasuk bapanya sehingga sebuah ‘negara’ dibentuk.

Lebih memeranjatkan Michael, ‘pulau tersebut’ menjadi punca utama dia kini bergelar seorang putera dan pemerintah pada negara milik keluarganya sendiri selepas kematian bapanya pada 2012.

MICHAEL kini merupakan pewaris negara Sealand yang ditinggalkan bapanya, Paddy Roy Bates.

Begitupun sebelum memiliki kuasa mutlak pada negara terkecil dunia itu, Michael merupakan pemerintah bersama ibunya, ‘Permaisuri’ Joan sehingga wanita tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2016.

Bercerita lanjut, menurut Michael, Principality of Sealand mula terbentuk pada tahun 1965 ketika ayahnya yang juga bekas jeneral tentera British yang menjadi nelayan, memulakan stesen radio bebas sendiri iaitu Radio Essex.

“Ayah tidak pernah merancang untuk menjadikan pangkalan ini sebagai sebuah negara. Pada awalnya, dia sekadar tersinggung dengan pemerintahan Inggeris yang mahu menutup stesen radionya.

“Ingin menyelamatkan radio dan melihatkan peluang yang ada pada pangkalan terbiar ini, dia mengambil keputusan untuk memindahkan operasi stesen radio bebasnya ke sana,” katanya.

Rancangan tersebut sekali lagi gagal selepas kerajaan British mengeluarkan larangan siaran dari lokasi marin.

“Tekanan itu menyebabkan ayah mula mengumumkan penubuhan negara bebas Principality of Sealand sebagai salah satu cara untuk tidak melanggar undang-undang yang ada.

“Pada 2 September 1967, Principality of Sealand diisytiharkan. Pengisytiharan tersebut adalah bersempena dengan ulang tahun kelahiran ibu yang ke-38. Sedikit demi sedikit, kami sekeluarga mula berpindah ke pulau itu,” ceritanya.

Kewujudan negara mikro kebiasaannya tidak diiktiraf dan dianggap tidak sah sehingga ada yang dilabelkan melanggar peraturan undang-undang antarabangsa.

Bahkan sehingga ke hari ini, PBB masih belum mengakui Principality of Sealand sebagai sebuah negara.

Di sebalik status negara tersebut yang masih dikatakan tidak sah, Sealand mula menjadi rebutan ramai.

Lokasinya yang strategik dan bebas daripada tekanan undang-undang menyebabkan Principality of Sealand pernah ditawan oleh seorang lelaki bernama Alexander Achenbach bersama askar upahan pada tahun 1978.

Penawanan itu menyebabkan Michael dikurung selama beberapa hari. Bagaimanapun, Michael berjaya mendapatkan semula negara tersebut.

ADDY ROY BATES bersama isterinya, Joan Collins bergambar di hadapan negara Seland.

Menurut Michael, perjuangan bapanya untuk menjadikan pangkalan tersebut sebagai sebuah negara tidak semudah disangka.

Keadaan itu menyebabkan dia sanggup menyambung legasi pemerintahan peninggalan mendiang bapanya dan Principality of Sealand masih lagi kukuh berdiri di tengah lautan sehingga ke hari ini dan diisytiharkan sebagai sebuah ‘negara merdeka’.

Terang Michael lagi, sebaik diisytiharkan sebagai sebuah negara, Paddy Roy Bates menggubal perlembagaan sendiri selain turut mencipta bendera, menubuhkan pasukan bola sepak, mencipta lagu kebangsaan dan mata wang sendiri yang turut tertulis perkataan ‘Princess Joan’.

Menggunakan Sealand Dolar sebagai mata wang, nilai tersebut dipercayai menyamai satu dolar Amerika Syarikat. Sekitar awal tahun 1970-an, Principality of Sealand mempunyai 50 penduduk yang terdiri daripada keluarga, rakan-rakan dan pekerja penyelenggaraan.

Pada waktu itu, mereka hidup di dalam sebuah bilik menyerupai kontena. Kawasan kecil dan terhad menyebabkan tidak banyak aktiviti boleh dilakukan oleh Sealand menjana ekonomi.

Kegiatan ekonomi Sealand tertumpu pada penjualan pasport dengan anggaran 150,000 pasport berjaya dijual. Di awal penubuhan Principality of Sealand, sebanyak 500 pasport telah dikeluarkan.

Bagaimanapun, pada tahun 1997, Roy membatalkan kesemua pasport yang telah dikeluarkan atas alasan yang tidak diketahui.

Principality of Sealand turut menjual darjah kebesaran kepada mereka yang berhajat. Serendah RM180, individu layak bergelar Lord atau Lady of Sealand. Jika mereka mahukan pangkat lebih tinggi, bayaran RM1,200 dikenakan dan layak bergelar Count of Sealand.

Selain itu, Principality of Sealand turut bergantung kepada penjualan cenderamata seperti cawan dan rantai kunci sebagai sumber ekonomi negara.

“Saya sedar kisah kami dan negara ini membuat orang marah.

“Kami sukakan kebebasan. Kami tidak suka hidup dalam sebuah negara yang perlu patuh kepada undang-undang ditetapkan.

“Tidak dinafikan ramai suka idea negara merdeka ini yang mana mereka tidak terikat pada mana-mana undang-undang. Tetapi, tidak banyak tempat seperti ini wujud,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI