fbpx
FATIMAH (tengah) bersama suaminya, Abdul Samad (kiri) dan pekerjanya, Peterchris (kanan) menunjukkan latok ternak berkualiti tinggi iaitu 100 peratus organik sebelum dipasarkan kepada pelanggan.–MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

Eksperimen ‘anggur laut’ jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGHASILKAN bunyi ‘pop’ apabila dimakan, selain rasanya yang sedap dan berkhasiat tinggi menjadikan latok sebagai makanan yang semakin diminati.

Latok yang turut digelar sebagai ‘anggur laut’ ialah sejenis rumpai laut. Istilah saintifik bagi latok ialah Caulerpa lentillifera. Menurut portal Jabatan Perikanan Malaysia, rumpai laut ialah tumbuhan laut yang dikenali sebagai alga.

Sebelum ini, latok terkenal sebagai makanan tradisi masyarakat Bajau Laut atau Suluk di Semporna, Sabah, namun kini ramai rakyat Malaysia termasuk di Semenanjung yang turut menggemarinya.

Atas faktor permintaannya yang kian meningkat, bekalan latok yang biasanya diperoleh dari Sabah kini tidak dapat lagi memenuhi permintaan pasaran.

Pernah berdepan situasi tersebut, seorang usahawan, Fatimah Salleh, 38, yang mengusahakan dua buah restoran makanan Sabah iaitu Restoran Ikan Bakar Semporna di Kepong dan Shah Alam,
Selangor terdetik untuk mencari penyelesaian dengan menternak sendiri latok menggunakan tangki air simen.

“Saya terfikir macam mana untuk dapatkan latok dalam kuantiti banyak dengan lebih mudah dan segar. Sebelum ini saya memperoleh bekalan latok dari Sabah tetapi permintaan sangat tinggi iaitu sehari lebih kurang 30 kilogram (kg) latok diperlukan untuk hidangan di restoran sahaja.

“Ini tidak termasuk permintaan daripada pengusaha restoran lain serta permintaan pihak ejen yang menjual latok di pasaran online,” katanya kepada Panorama di kolam ternakan latok miliknya di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

TERDAPAT 13 kolam ternakan latok yang diusahakan Fatimah dan suaminya di Lukut, Port Dickson.

 

Menurut Fatimah, sebelum ini banyak kali dia perlu menanggung kerugian apabila bekalan latok yang diterbangkan dari Sabah ‘rosak’ akibat terkena panas selepas dibungkus untuk dihantar ke Semenanjung, selain kos penghantaran yang tinggi.

Bermula dari situ, Fatimah yang berasal dari Semporna, Sabah bersama suaminya, Abdul Samad Idris, 44, melakukan eksperimen dan penyelidikan sendiri selama enam bulan bermula awal tahun 2019 untuk mencari kaedah terbaik menternak latok.

“Pada mulanya, saya bersama suami pergi ke beberapa negara yang mengusahakan latok seperti Jepun, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam untuk mempelajari ilmu mengenai cara menternak latok.

“Kemudian kami cuba mengaplikasikan sistem atau formula diguna pakai di sana dan untuk permulaan sebanyak 50kg benih latok yang diimport dari Thailand dibenihkan untuk mendapatkan hasil,” ujarnya yang memberitahu sanggup mengeluarkan modal sendiri berjumlah RM100,000 bagi merealisasikan ternakan latok itu.

Jelas Fatimah, dia juga tidak lari daripada jatuh bangun ketika melakukan kajian selama enam bulan, sebelum akhirnya ternakan latok menggunakan tangki simen yang diusahakan membuahkan hasil. Kini, dia mampu mengeluarkan dua tan latok sebulan.

Menjadi rutin seorang pekerjanya, Peterchris Hussam, 43, untuk sentiasa memastikan tahap kebersihan air dalam tangki simen ternakan latok serta membuang buih-buih kotor.

“Air tangki perlu sentiasa bersih. Saya perlu sentiasa pantau dan buang buih-buih kuning yang kotor kerana boleh menjejaskan kualiti latok.

 

FATIMAH dan pekerjanya Peterchris menunjukkan latok yang sudah boleh dituai.

 

“Biasanya air akan ditukar setiap dua hari. Latok ini sensitif pada suhu, air dan cuaca, jadi semuanya perlu sentiasa seimbang,” katanya yang berasal dari Sabah.

Peterchris berkata, di Sabah, latok diternak terus di dalam laut dan airnya bersih memandangkan perairannya jernih, berbanding ternakan latok kolam yang menggunakan air laut dari Semenanjung dan perlu diproses terlebih dahulu sehingga bersih.

“Cahaya matahari diperlukan latok bagi memastikannya sihat dan panjang sekitar lapan inci (20 sentimeter). Tempoh ternakan latok mengambil masa antara 30 hingga 45 hari dan biasanya pada hari ke-18, latok sudah boleh dituai. Hasil latok untuk satu kolam boleh mencecah 60kg dengan sekali tuaian,” katanya.

Dari segi rasa, Fatimah berkata, latok ternak tidak berbau hanyir berbanding latok liar.

“Rasa latok ternak lebih sedap dan rangup kerana latok ini tidak menggunakan baja kimia walaupun diternak di dalam kolam, sebaliknya tumbuh sendiri bergantung kepada sumber alam.

“Latok ternak ini tidak memerlukan baja dan 100 peratus organik serta tahan lebih lama iaitu tujuh hari selepas dituai,” ujarnya.

 

PETERCHRIS memastikan kebersihan air kolam.

 

Bahkan jelas Fatimah, kajian daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati, latok mempunyai khasiat tersendiri untuk membantu mengatasai masalah penyakit tertentu.

“Latok sesuai dimakan sebagai ulam atau kerabu serta enak dimakan dengan sos tertentu. Latok juga dikenali sebagai makanan yang tinggi kandungan kolagen yang dapat membantu mencantikkan kulit,” katanya yang kini mempunyai 13 kolam ternakan latok.
Fatimah berkata, harga pasaran borong bagi latok ternak ialah RM50 sekilogram manakala harga bagi jualan pasaran ialah RM13 bagi 100 gram latok.

“Selain membekalkan latok ternak untuk hidangan di restoran sendiri dan kepada pegusaha restoran ain, saya juga memasarkan latok untuk jualan online kepada ejen seluruh Malaysia menggunakan jenama Gamai.

“Selepas ini saya berhasrat untuk menghasilkan produk-produk berasaskan latok seperti sabun mandian yang mempunyai khasiat yang baik untuk kulit bagi memperluas pasaran latok,” katanya lagi.

Pada masa hadapan, Fatimah berhasrat menambah 50 hingga 70 lagi kolam ternakan latok bagi memenuhi permintaan, selain bagi menembusi pasaran Singapura dan Brunei.

 

LATOK sesuai dijadikan makanan seperti ulam serta enak dinikmati dengan sos tertentu.

 

“Permintaan terhadap latok ini memang sangat tinggi. Apabila kapasiti atau pengeluaran latok lebih banyak, tidak mustahil latok ternakan ini dapat dieksport ke luar negara memandangkan permintaan dari sana memang ada,” katanya.

Perusahaan kolam ternakan laut milik Fatimah dan suaminya itu turut mendapat sakongan daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan yang membantu dalam mengembangkan projek ternakan latok.

“Kini saya dalam proses untuk memohon Sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) serta mendapatkan permit import dan eksport,” katanya yang mahu perusahaan latok ini berkembang dan masyarakat dapat menikmati latok segar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN