Nota Editor: Chan Eu Boon mengaku bersalah pada Ogos 2022 atas pertuduan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung hantaran “TOP 10 SUGAR BABY UNIVERSITY IN MALAYSIA” dan membayar denda berjumlah RM7,000. Dia tidak pernah didakwa atas kes rogol atau pelacuran dan waran tangkap telah dibatalkan.
SHAH ALAM – Seorang lelaki yang merupakan pengasas aplikasi Sugarbook tiba di kompleks Mahkamah Shah Alam untuk proses reman sebentar tadi.
Suspek berusia 34 tahun itu tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 10.10 pagi dengan tangan bergari dan dikawal anggota polis.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata suspek ditahan di sebuah pekarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur pukul 4.30 petang semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 372 (1) (d) / 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, sebanyak 74 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes tersebut,” jelasnya. -K!ONLINE














